Saturday, June 27, 2009

BIRO PEMBANGUNAN UMNO ALOR SETAR BELA NASIB TIGA PENDUDUK YANG DIHALAU

Dari kiri: K. Perumal, Harison dan Siti Jaliha



Ir Guntor Tobeng sedang meneliti dokumen yang dikemukakan.

Air mata Makcik Siti Jaliha Ibrahim mengalir bagaikan hujan apabila mendapat surat daripada pejabat peguam yang mengarahkan beliau mengosongkan rumah yang diduduki selama 30 tahun dengan serta merta.
Beberapa hari beliau murung memikirkan nasibnya sekiranya dihalau. Ke manakah hendak berteduh, beliau bukan ada wang beribu untuk beli rumah baru, hendak sewa rumah juga tidak mampu.Ibu tunggal yang menetap di rumah atas tanah TOL di Kampung Gunung Sali, Alor Setar itu tidak tahu ke mana hendak dituju sekiranya terpaksa berpindah daripada rumahnya itu.
Senasib dengan Makcik Siti Jaliha adalah Puan Harison Md Nayan dan K. Perumal yang menduduki satu lot tanah di Lorong Mas 3, Kampung Gunung Sali.Mereka bertiga telah menerima surat daripada pejabat peguam yang mewakili Aida Maslina Tajuddin pada 10 Jun 2009.
Di dalam surat berkenaan, Aida Maslina mendakwa ketiga-tiga mereka itu telah menceroboh tanah kepunyaannya, yang telah memperolehi hak terhadap tanah yang diduduki ketiga mereka itu. Oleh itu ketiga mereka itu diarahkan mengosongkan kediaman dengan segera atau berhadapan dengan tindakan susulan sekiranya gagal mematuhi arahan mengosongkan kediaman mereka.
Harison telah membuat laporan polis di Balai Polis Alor Setar pada 11 Jun 2009 berhubung tindakan menghalaunya keluar daripada rumah yang sudah 30 tahun menjadi tempat berteduh daripada panas dan hujan.
Ketiga mereka mendapat kelegaan apabila Biro Pembangunan UMNO Bahagian Alor Setar telah tampil mendengar masalah mereka. Ketua Biro itu, Ir Guntor Tobeng Mansor Tobeng, yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar akan mengkaji masalah itu.
Turut sama dalam perjumpaan itu adalah Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar Syed Rizal Syed Unan, yang juga merupakan seorang peguam.
Guntor berkata pihaknya akan meniliti permasalahan itu dengan mendalam kerana ia merupakan satu kes yang rumit kerana melibatkan pelbagai agensi kerajaan, kerajaan negeri dan aspek perundangan.
Katanya, pihaknya akan meneliti dengan Pejabat Tanah berhubung dakwaan Aida Maslina yang mendakwa beliau adalah pemilik tanah berkenaan sedangkan ketiga mereka itu sudah menduduki selama 30 tahun.
"Kenapa sekarang baru Aida Maslina tampil mendakwa beliau berhak atas tanah itu, dakwaan bahawa beliau memiliki tanah itu juga perlu disemak terlebih dahulu," katanya.
Syed Rizal berkata, terdapat dua perkara yang perlu dilihat daripada kes itu iaitu pertama samaada benar Aida Maslina telah diberi hak milik tanah berkenaan dan sekiranya benar beliau adalah pemilik sah tanah berkenaan, tindakan kedua yang boleh dilakukan adalah menuntut pampasan sekiranya ketiga-tiga mereka dihalau daripada tanah berkenaan.
Beliau akan mengkaji kes itu daripada aspek perundangan bagi memastikan nasib ketiga-tiga mereka dibela.
Pembelaan daripada orang kuat UMNO Alor Setar itu telah melegakan hati Siti Jaliha, Harison dan Perumal.
Siti Jaliha sambil tersenyum mengucapkan syukur kerana berasa lega mendengar jaminan nasibnya dibela. Kalau sejak menerima surat peguam itu beliau gundah, pertemuan itu telah menghanyutkan perasaan takut beliau.

No comments: