Tuesday, June 16, 2009

PERJELASAN PERLANTIKAN SHAFIE APDAL

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Ir Guntor Tobeng Mansor Tobeng telah menggunakan kesempatan perasmian mesyuarat cawangan UMNO dalam Bahagian Alor Setar bagi menerangkan rasional perlantikan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.
Guntor Tobeng berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat kajian yang teliti mengenai suasana geopolitik Kedah dan kedudukan sosioekonomi negeri ini dalam beliau membuat keputusan menghantar Shafie memimpin UMNO Kedah.
Jelas beliau, yang dihantar oleh Najib kepada orang Kedah bukan Shafie semata-mata, mahupun kerana isteri beliau berasal dari Sungai Petani, tetapi yang dihantar adalah segala macam projek pembangunan bagi memajukan kampung di bawah kementerian itu.
"Dengan dana tahunan kementerian itu sebanyak RM500 juta, Shafie sudah tentu memberi perhatian khusus dalam aspek pembangunan Kedah yang rata-rata penduduknya masih lagi duduk di kampung," kata beliau.
Walaupun dalam aspek pembangunan, Kedah telah mencapai 90 peratus dalam bekalan tenaga elektrik dan bekalan air paip kepada seluruh penduduk negeri ini, masih ada lagi kawasan yang masih daif dari segi kemudahan asas serta pembangunan ekonomi, dan ia sangat memerlukan perhatian serta pembelaan.
Jangan lupa masih ramai lagi orang susah yang tidak mempunyai pendapatan tidak tetap, masih ramai yang hidup hanya dengan pendapatan RM250 sebulan dan masih banyak jalan yang belum diturap dan bermacam lagi permasalahan pembangunan.
Begitu juga soal meningkatkan pembangunan ekonomi, bagaimanakah kaedah yang boleh dilakukan bagi menjana ekonomi penduduk kampung, apakah lagi yang perlu dilakukan bagi mengeluarkan rakyat miskin dari belenggu kemiskinan hidup itu dan bagi memastikan kemiskinan itu tidak diwarisi.
"Jawapannya, semua program pembangunan itu ada di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Projek jalan kampung ada peruntukan di bawah kementerian itu, projek elektrik dan air kampung ada di bawah kementerian itu dan program membasmi kemiskinan sudah ada bermacam-macam di bawah kementerian itu," katanya.
Hakikatnya, kata Guntor, orang Kedah beruntung kerana Shafie yang dipilih menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.
Oleh itu, Guntor Tobeng mahu UMNO Kedah tidak merasa rendah diri apabila dituduh parti lawan bahawa UMNO Kedah bertuankan orang luar dan UMNO Kedah sudah tiada pemimpin tempatan yang hebat.
"Pertamanya saya ingin tekankan, tidak ada istilah bertuankan orang luar kerana Shafie adalah Naib Presiden UMNO dan UMNO adalah sebuah parti yang bersikap terbuka kepada soal kepimpinan. Keduanya saya tekankan bahawa kita perlu melihat situasi di Kedah sekarang ini, dimana UMNO dan BN sudah menjadi pembangkang dengan moral anggota UMNO juga sudah tergugat. Dengan menghantar seorang yang mempunyai jawatan tinggi dalam parti diperingkat pusat serta mempunyai jawatan Menteri, ia lebih melicinkan perjalanan dan perlaksanaan program parti, terutama dalam merangka strategi menewaskan Pakatan Rakyat pada pilihanraya ke-13 nanti".
"Lagipun, tidak ada salah orang bukan dari negeri ini menjadi pemimpin kerana dalam sejarah negara lain juga berlaku begitu manakala dalam sektor korporat ia diamalkan dengan ketara, begitu juga dalam bidang sukan".
"Dalam konteks politik Malaysia pula, MCA juga pernah melakukan perkara yang sama dan ia terbukti berjaya. Chua Jui Meng, bekas Menteri Kesihatan dari Johor pernah jadi Pengerusi MCA Kedah".

2 comments:

Dsaba Pro Network said...

sebelum ni, ada orang kedah yang jadi PM 22 tahun takkan masih ada kawasan yang mundur dan daif ? kalau betul masih ada kawasan yang mundur dan daif nampaknya orang kedah kena auta je selama 22 tahun, sekarang hantar orang sabah pula jaga kedah lagilah kena auta jer, confirm.

DukeOfUMNO said...

Dsaba Pro Network...

Tak betoi tu kot...banyak bezanya Aloq Staq zaman 1980an dan 2000an....kan? Dulu Pekan rabu tak lagu tu kotttt....atau sememangnya hang "buta"? Pasai kemiskinan tegar tu...hehheh...aku rasa...ramai org aloq staq yg dah meningkat taraf hidupnya...kalau masih ada pun, mungkin kes2 terpencil...selangor negeri maju pun masih ada lagi kemiskinan tegar ni...pokok pangkalnya bukan salah kerajaan tak tolong...dah tolong...tapi terserahlah kepada ampunya badan utk berusaha merubah nasib..."la yughaiyirullahu bi qaumin hatta yughaiyiru ma bi anfusihim"...harap hang faham firman Allah tu...rasanya point hang ni lebih baik hang pi tanya kat Nik Aziz...macamana keadaan ekonomi rakyat kelantan...dah lebih 18 tahun dah tu dia uruskan ekonomi kelantan...tapi pasai apa anak kelantan adalah yg paling ramai cari makan di luar kelantan? Kalau org macam Nik Aziz perintah Kedah, lagi teruk la Kedah niiii...

Datang dari luar atau dalam Kedah bukan isu pun...lain la kalau hang ada sikap assobiyah kenegerian...assobiyah kenegerian ni pun better hang pi rujuk kat kelantan jugak...kelantan kan terkenal dgn assobiyah kenegeriannya...hehheh..nak kata auta...alaaa...pemimpin PR Kedah lagi banyak auta...cuma MB Azizan ja yg "tak tau"...kalau tanya dia...apa pun dia tak tau...aku pun tak tau apa yg dia tau...hehehhe..kesian kat dia...banyak yg depa sembunyikan dari dia..