Friday, August 28, 2009

SENTUHAN 1MALAYSIA DI SIK..

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah meninjau keadaan rumah seorang penduduk di Kampung Batu Seketul, Sik baru-baru ini sambil menyampaikan sumbangan kepada 32 mangsa ribut di kampung berkenaan.

Datuk Ahmad Bashah berkata, sejumlah RM173,000 peruntukkan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) untuk membaiki atau membina semula rumah yang rosak.

Beliau berkata Kerajaan Pusat yang dipimpin Barisan Nasional (BN) amat prihatin dengan masalah yang menimpa penduduk di negeri ini walaupun diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Katanya, bantuan itu membuktikan BN berpegang teguh kepada slogan tradisi membela rakyat.

Tuesday, August 25, 2009

'Buat apa tunggu dalam PKR lagi?

Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd. Nor bersyukur apabila semakin ramai pemimpin serta ahli parti itu sedar dan tidak mahu lagi bersubahat dengan pegangan politik yang merosakkan agama, bangsa dan negara.

Tegas beliau, kesedaran berkenaan timbul apabila mereka mendapati agenda politik PKR adalah untuk memenuhi kerakusan nafsu politik dan peribadi penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.

Ezam berkata, beliau juga akan berdoa semoga lebih ramai yang sedar malah meyakini Allah akan membuka pintu hati ahli dan pemimpin PKR kepada kebenaran satu masa nanti.

Pemimpin PKR dah jadi lain sekarang." Itu pesanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu kepada wakil rakyat serta ahli PKR yang masih dalam dilema sama ada mahu keluar atau terus kekal dalam parti itu.

Beliau yang merupakan antara dua wakil rakyat terawal yang keluar dari PKR berkata, perjuangan PKR sudah jauh berubah selepas menang banyak kerusi pada pilihan raya umum lepas.

"Pejuang-pejuang tulen dalam PKR sudah terpinggir sebenarnya. Ramai muka-muka baru cuba menonjol sebab parti dah ada kuasa sekarang.

"Dulu orang tak pandang dan tak mahu dekat dengan PKR tetapi apabila dah bentuk kerajaan, orang yang tidak pernah nampak muka dalam PKR sekarang ke depan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Osman, pada pandangannya, Mohd. Radzhi mungkin bertindak demikian kerana mendapat tekanan daripada PKR atau pakatan pembangkang terutamanya Pas.

"Apa yang dilakukan beliau merupakan satu tindakan bijak dan berani. Ini juga memberikan satu petanda baik kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir," katanya.

Diminta mengulas mengenai isu kroni dalam PKR yang turut dibangkitkan Mohd. Radzi, Mohd. Osman memberitahu, masalah itu sebenarnya sudah lama wujud dan sedang berlaku sekarang.

-Utusan Malaysia



ADUN LUNAS KELUAR PKR..

Pakatan Rakyat di Kedah menerima tamparan hebat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Mohd Radzhi Salleh mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil Bebas kerana hilang kepercayaan kepada parti itu.

Bagaimana pun, Mohd Radzhi mahu mengekalkan jawatan sebagai Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia Negeri Kedah kerana jawatan itu adalag perlantikan Sultan Kedah.

Seperti kebiasaannya, PR khusus PKR akan menuduh Barisan Nasional yang terbabit dalam senario politik yang berlaku ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Ahmad Kasim menyalahkan BN yang dtuduh merancang dan memanipulasi isu berkenaan menjelang pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang esok.

Nampaknya pemimpin PKR tidak mahu berpijak dibumi yang nyata dan enggan mengakui kelemahan yang ada dalam diri mereka. Tepuk dada tanyalah hati sendiri. Jangan asyik menuduh orang lain disebalik kelemahan yang kian terserlah.

Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan adalah antara pemimpin yang paling pening memikirkan kemelut yang berlaku di negeri yang dianggap paling panas kerusinya.

lantaran itu, Azizan memohon perkenan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mua'dzam untuk mempertimbangkan permohonan menamatkan perkhidmatan Mohd Radzhi sebagai exco kerajaan negeri Kedah kelmarin.

Namun sehingga kini Sultan Abdul Halim belum lagi membuat keputusan untuk menentukan sama ada Mohd Radzhi akan dipecat daripada jawatan penting itu.

PKR pula ibarat cacing kepanasan apabila semakin ramai pemimpinnya memilih untuk keluar parti berikutan rasa tidak senang hati dengan kepimpinan "Pengkhianat Melayu" yang sanggup menggadai agama, bangsa dan negara demi kepetingan peribadi.

Nantikan keputusannya..

Thursday, August 20, 2009

Pemuda Umno Serah Bukti Pengundi Hantu Kepada SPR


Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang hari ini menyerahkan bukti mengenai kewujudan pengundi hantu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketuanya, Norman Zahalan yang ditemani lebih 30 anggota pergerakan itu menyerahkan sepucuk surat rasmi serta senarai pendaftaran pengundi berkenaan kepada Penolong Pegawai Pengurus SPR Masirah Che Ani di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, di sini.

Norman berkata, selepas membuat bancian terhadap 30 rumah di kawasan Permatang Pasir, Permatang Janggus dan Bukit Jelutong, terdapat sembilan pengundi yang tidak dikenali didaftarkan di dua alamat berasingan.

Ketika ditemui pemberita, beliau berkata, daripada sembilan nama itu, terdapat dua pengundi Cina didaftarkan di rumah penduduk Melayu dan tidak dikenali oleh tuan rumah.

"Satu lagi alamat rumah di kawasan berkenaan mempunyai 14 pengundi yang mana tujuh daripadanya tidak dikenali oleh tuan rumah tersebut," katanya.

Katanya, ini adalah bukti peringkat pertama yang diserahkan kepada SPR dan percaya jumlah itu mungkin mencecah 3,000 orang.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan yang turut hadir di pejabat itu berkata selama ini pihak pembangkang yang selalu membangkitkan isu pengundi hantu tetapi tidak mampu menunjukkan bukti seperti mana yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau berharap pihak SPR akan menjalankan siasatan pengundi hantu ini dengan segera supaya tidak menimbulkan masalah pada hari pengundian kelak.

- Bernama

Wednesday, August 19, 2009

KEMPEN TANDA HARGA...

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah merasmikan Kempen Tanda Peringkat Negeri Kedah di Pasar Simpang Kuala, di ini, kelmarin.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu adalah bertujuan untuk memastikan setiap peniaga meletakkan tanda harga pada setiap barangan yang dijual.

Selain beramah mesra dengan orang ramai yang berada di situ, Datuk Bashah turut memberi nasihat kepada peniaga supaya mengikut peraturan yang ditetapkan bagi memudahkan pengguna melihat harga pada setiap barang yang dipamerkan.

Beliau berharap peniaga tidak menaikkan harga barang dan mengambil kesempatan menjelang musim perayaan nanti

Selain di pasar itu, Datuk Bashah turut meninjau bekalan gula di sebuah kedai runcit di kawasan berkenaan.

Tuesday, August 18, 2009

SENTUHAN 1MALAYSIA...

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menyampaikan sumbangan Perkeso kepada Hayati Hassan yang menerima faedah hilang upaya kekal di Wisma Perkeso, baru-baru ini.

Seramai 28 pencarum menerima bayaran pampasan hampir RM30,000 pada majlis berkenaan.

Datuk Ahmad Bashah berkata, semua majikan perlu menjalankan tanggung jawab mereka dengan mendaftar pekerja mereka dengan Perkeso.

"Saya dulu pernah menjadi majikan dan ketika itu saya menjalankan amanah dengan mendaftar semua pekerja saya dengan Perkeso.

"Apa akan terjadi sekiranya pekerja yang menimpa musibah semasa bekerja tidak mendaftar dengan Perkeso. Ini seperti menganiaya mereka," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Pusat melalui agensi yang berkaitan termasuk Perkeso sentiasa mengutamakan rakyat yang memerlukan bantuan.

Sunday, August 16, 2009

JENTERA UMNO KEDAH BANTU PILIHAN RAYA PERMATANG PASIR...

Umno Kedah akan menghantar seramai 80 petugas tetap bagi membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)Permatang Pasir 25 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kumpulan petugas berkenaan mula sudah berada di untuk penamaaan calon hari ini.

Beliau berkata, jumlah yang dihantar itu adalah mengikut jumlah yang dikehendaki oleh ibu pejabat parti untuk kempen pilihan raya di situ.

Katanya, semua jentera parti termasuk kompenan BN negeri akan diminta untuk menghantar petugas bagi membantu kempen calon BN di Permatang Pasir.

Ketua Bahagian Umno Alor Setar itu berkata jarak yang dekat dengan memberi kelebihan kepada jentere parti untuk berulang alik ke situ.

"Kita sudah mengarahkan beberapa bahagian yang berhampiran dengan Permatang Pasir untuk menghantar anggota untuk proses penamaan calon pada hari,

"Kita yakin pendekatan dan strategi kempen pada pilihan raya di Manek Urai bulan lalu mampu menawan keyakinan pengundi terutama pengundi muda di Permatang Pasir.

"Walaupun dianggap sebagai kubu kuat pembangkang, pendekatan mengunjungi rumah ke rumah dan sentuhan peribadi calon akan memberi kelebihan kepada BN," katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian cek faedah di Wisma Perkeso, di sini.

Ahmad Bashah berkata, pergolakan yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor membuka mata rakyat dan keadaan itu memberi kelebihan kepada BN.

Menurutnya, pemilihan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman,38, sebagai calon BN amat sesuai dalam usaha menarik minat golongan muda untuk keluar mengundi dan seterusnya memberi kemenangan kepada BN.

Beliau berharap pengundi di situ membuat keputusan bijak dan menterjemahkan pada hari mengundi nanti.

Wednesday, August 12, 2009

PROGRAM MEMBINA KERJAYA...BERSAMA PUTERI ALOR SETAR

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Alor Setar akan menganjurkan Program Membina Kerjaya dengan kerjasama Jabatan Sumber Manusia bersama Haji Samuri Satay Kajang selama 3 bulan bagi membina kerjaya sebagai Penyelia Kilang dan Penyelia Kedai. Dengan ini kami menjemput semua yang berminat bagi menyertai program ini yang akan diadakan seperti ketetapan berikut :-
.
.
TARIKH : 14hb Ogos 2009 (Jumaat)
JAM : 9.00 pagi - 12.00 tengahari
TEMPAT : Pusat Khidmat DUN Bakar Bata, Mergong
.
.
Syarat-syarat :-
* Tidak mempunyai sebarang pekerjaan
* Perempuan dan lelaki
* Boleh membaca dan mengira
* Umur antara 18 hingga 40 tahun
* Sihat Tubuh Badan
.
Faedah :-
** Elaun bulanan semasa berkursus sebanyak RM700.00
** Penginapan semasa berkursus disediakan
** Makan dan minum disediakan
** Berpeluang memiliki pekerjaan tetap
.
.
:: Sila Bawa bersama semasa TEMUDUGA ::
1. Salinan kad pengenalan
2. Salinan sijil akademik
3. Berpakaian kemas
.
.
Kepada sesiapa yang berminat, bolehlah menghadiri temuduga yang akan diadakan ini.
.
Sekian, terima kasih.
.
.
"Generasi Wanita Prihatin ~ Prihatin Berilmu"

Tuesday, August 11, 2009

BIARLAH KITA MENANG DENGAN BERGAYA...UMNO KEDAH SANGKAL DAKWAAN

HELAH PAKATAN RAKYAT...Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Mohd Hanipah menyangkal dakwaaan Menteri Besar Kedah bahawa wujud beberapa cubaan untuk mengumpan wakil rakyat gabungan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Beliau berkata Umno tidak akan membazirkan wang untuk membeli wakil rakyat itu bagi menubuhkan kerajaan di negeri ini.

Katanya Umno Kedah tidak berminat menubuhkan kerajaan dengan cara sedemikian dan adalah lebih baik wang bagi membeli lima wakil rakyat dibelanjakan untuk faedah rakyat.

"BN Kedah mempunyai agenda lebih besar dan lebih penting iaitu menawan semula negeri ini pada pilihan raya akan datang daripada memancing Adun PR menyertai BN.

"Fokus BN ketika ini adalah merancang strategi berkesan bagi menarik semula pengundi dan seterusnya memenangi Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

"Seperti kata Perdana Menteri, kalau kita nak menang dan merampas kembali negeri yang terlepas kepada pembangkang, biarlah kita menang dengan bergaya.

"Kalau Umno hendak buat perkara itu (beli), ini bukan masanya. Mereka kini sedang berusaha utuk menidakkan sambutan yang diberikan rakyat kepada BN dan Umno," katanya.

Monday, August 10, 2009

ADUN KULIM BIADAP TERHADAP BN DAN UMNO

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menempelak dan kesal dengan sikap Adun Kulim , Lim Soo Nee yang melabelkan kerajaan BN sebagai 'paria' ketika sidang DUN kelmarin.

Datuk Bashah berkata, sikap itu tidak melambangkan sifat seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan perkataan kasar seumpama itu pertama kali digunakan dalam sidang DUN oleh seorang pemimpin.

Beliau berkata, perkataan kasar itu tidak pernah digunakan ketika kerajaan BN memerintah dan keadaan ini menunjukkan Adun itu cuba mencetuskan kemarahan dan tidak menghormati sensiviti pemimpin BN di sidang Dun itu.

"Sebagai Adun kita sepatutnya lebih berhati-hati dan peka dengan perkataan yang digunakan.
Sidang DUN bukanlah landasan untuk mengkritik antara satu sama lain, tetapi untuk berbincang perkara berfaedah termasuk mengenai pembangunan negeri," katanya dalam sidang media di Bangunan Tunku, semalam.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin kecoh apabila seorang ahli pakatan pembangkang menyamakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Kedah sebelum Pilihanraya Umum tahun lepas sebagai ’paria’.
.
Keadaan menjadi riuh rendah apabila Lim Soo Nee (PKR-Kulim) menyebut "kerajaan BN paria semasa berkuasa” ketika membahaskan isu pusat penyembelihan babi sebaik Datuk Amiruddin Hamzah (PAS-Anak Bukit) selesai menjawab soalan tambahan Dr Cheah Soon Hai (BN-Derga) mengenai perkara itu.

Tindakannya mendapat reaksi segera Datuk Syed Sobri Syed Hashim (BN-Kuala Nerang), Tajuddin Abdullah (BN-Belantek), Mohd Rawi Abdul Hamid (BN-Air Hangat) dan lain-lain wakil rakyat BN yang meminta beliau menarik balik perkataan itu yang disifatkan sebagai kasar.

Paria merujuk kepada orang atau golongan paling rendah kastanya dalam masyarakat India.

Sunday, August 9, 2009

PROGRAM PEMILIHAN ASKAR WATANIAH...
















Hampir 100 belia dan beliawanis hadir dalam program pemilihan Askar Wataniah yang dianjurkan oleh Pemuda Umno Bahagian Alor Setar, 9 Julai lalu.

Hujan lebat yang turun sejak awal pagi tidak melunturkan semangat mereka untuk menjayakan program dan menyatakan sokongan terhadap program Satu Parlimen Satu Wataniah yang dilancarkan oleh Naib Presiden Umno merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Exco Pemuda Malaysia merangkap Setiusaha Politik TPM, Shahril Jamaludin hadir utuk merasmikan program berkenaan yang disifatkannya sebagai program terbaik untuk melatih golongan belia supaya mempunyai jati diri dan disiplin yang tinggi.

Beliau berkata, Pemuda perlu terus aktif melaksanakan pelbagai program yang dapat menarik minat golongan muda mendekati Umno.

Hadir sama ialah Ketua Bahagian Umno Alor Setar, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, Ketua Pemuda Alor Setar, Zubir Zabidi dan pimpinan tertinggi sayap Umno Bahagian Alor Setar.

Saturday, August 8, 2009

PEMUDA BAHAGIAN ALOR SETAR BIDAS PENGKIANAT BANGSA...

BANTAH...Ketua Pemuda Umno Bahagian Alor Setar, Zubir Zabidi menyerahkan memorandum menyokong Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Setiausaha Politik TPM, Shahril Jamaludin.
Memorandum lima perkara yang turut menyatakan kesedaran Pemuda Umno Alor Star mengenai kepentingan Melayu di bawah Perlembagaan negara sedang terancam dan menyeru segenap pemimpin masyarakat terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemuda Melayu supaya menyertai mereka dalam membantah usaha Anwar untuk mengemukakan saman terhadap Muhyiddin .

Pergerakan Pemuda Umno Alor Star mengecam tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menjadi punca kepada kekalutan suasana politik dan mencalarkan imej negara ini.

Zubir berkata tindak tanduk pemimpin Pakatan Rakyat (PR) itu sebagai punca terjejasnya hubungan antara kaum sehingga memberi tanggapan buruk kepada imej Melayu di negara ini.
Beliau berkata, Anwar seharusnya tahu batasan yang harus dipatuhi dalam berpolitik dan tidak mengorbankan kepentingan bangsa Melayu hanya kerana agenda politiknya.

Wednesday, August 5, 2009

JAGALAH BAHASA ANDA

Blog ini amat menghargai komen-komen yang diberikan para pembaca. Bagaimanapun ada pembaca yang membuat komen dengan menggunakan bahasa kesat, lucah dan menyerang peribadi orang lain.

Diharap pembaca yang ingin membuat komen supaya dapat memberi kerjasama dengan memberi komen yang membina dan bukannya menghina dan merendahkan martabat orang lain.

Terim Kasih

AYUH MARI BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

Pegerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar akan mewujudkan Pasukan Askar Simpanan WATANIAH peringkat Parlimen Alor Setar.

Sesiapa yang berminat menyertai pasukan berkenaan diminta hadir ke sesi pemilihan di Pusat Khidmat DUN Bakar Bata, pada 7 Ogos 2009 (Jumaat), pukul 9 pagi. Sila bawa bersama salinan Kad Pengenalan, Surat Beranak dan Sijil Akademik.

Pelbagai elaun disedikan bagi mereka terpilih menyertai pasukan berkenaan.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Saudara Azren, Setiausaha Pergerakan Pemuda Bahagian Alor Setar di talian 017-5235218.

Daripada:
Haji Abdul Kadir Mohamad
Setiausaha UMNO Bahagian Alor Setar

Saturday, August 1, 2009

UMNO ALOR SETAR DESAK PENGELUARAN SIJIL HALAL DIPERKETAT

Persidangan UMNO Bahagian Alor Setar telah meluluskan dua usul iaitu:

1. Usul Politik

- Mendesak kerajaan meluluskan satu akhbar khas untuk ahli UMNO
- Meminta kepimpinan UMNO diperingkat negara, negeri serta bahagian memperkuatkan "tentera siber" supaya mampu berdaya saing di alam siber dengan parti lain
- Menyaran kerajaan memainkan peranan berterusan memberi kesedaran tentang perlembagaan persekutuan khususnya berhubung hak istimewa Melayu, Agama Islam, Raja-Raja Melayu dan kontrak sosial
- Menggesa kepimpinan UMNO di semua peringkat mengambil langkah yang proaktif dan berterusan menjenamakan UMNO dan Barisan Nasional dalam setiap program serta menjadikan agenda dekat dan prihatin kepada nasib rakyat, sebagai agenda utama
- Merayu kepimpinan UMNO di semua peringkat merapatkan barisan, mengembeling tenaga, berganding bahu serta komited untuk mengembalikan semula kekuasaan politik UMNO dan Barisan Nasional
- Mencadangkan kerajaan lebih agressif, peka dan responsif dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya rakyat miskin, anak yatim, ibu tunggal dan diberikan elaun bulanan kepada surirumah.

2. Usul Agama

- Memastikan tanda logo halal tidak disalahgunakan oleh pihak yang mahu mengaut keuntungan daripada pengguna Islam
- Memastikan logo halal digunakan disetiap premis perniagaan bagi orang Islam
- Memastikan pusat penyembelihan di seluruh negara disiasat dan dipantau secara berterusan
- Memastikan bahawa pindaan undang-undang penyediaan makanan, minuman dan perubatan dan mengenakan denda yang tinggi bagi mereka yang melanggar undang-undang yang ditetapkan

UMNO BAHAGIAN ALOR SETAR TIDAK SETUJU PINDAAN BERHUBUNG CUKUP KORUM MESYUARAT SAYAP PARTI

Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Alor Setar tidak setuju dengan draf pindaan perlembagaan UMNO yang mensyaratkan bahawa jumlah cukup korum bagi mengadakan mesyuarat sayap di peringkat cawangan adalah 25 orang daripada ahli yang membayar yuran bagi setiap cawangan.

Wakil Pemuda dan Puteri yang melahirkan pandangan mereka semasa sesi perbahasan tentang draf pindaaan perlembagaan UMNO pada Persidangan UMNO Bahagian Alor Setar menyifatkan cadangan itu boleh "membunuh" kedua sayap itu diperingkat cawangan.

Banyak sayap Pemuda dan Puteri diperingkat cawangan terpaksa ditutup sekiranya peraturan itu diterima pakai oleh UMNO. Ini kerana jumlah cukup korum 25 orang itu terlalu tinggi bagi peringkat cawangan.

"Banyak sayap Pemuda dan Puteri cawangan yang bermesyuarat dengan kurang daripada 20 ahli. Sekiranya perlu mencukupkan 25 ahli baru hendak boleh mengadakan mesyuarat, maka banyaklah sayap Pemuda dan Puteri yang berkubur dan ini boleh menjejaskan usaha menarik ramai golongan muda menyertai UMNO," kata wakil yang berucap pada perbahasan berkenaan.

Ketua UMNO Cawangan Alor Buluh Haji Madowan Haji Ahmad adalah wakil daripada cawangan yang tampil dengan mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkemaskan perlembagaan UMNO bagi menjadikan parti itu lebih perkasa dan relevan dengan kehendak semasa.

Inisiatif Haji Madowan menghantar cadangan cawangan beliau berhubung pindaan perlembagaan UMNO telah mendapat pujian Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Ir Guntor Tobeng Mansor Tobeng.

Guntor Tobeng berkata daripada 96 cawangan dalam Bahagian Alor Setar yang dihantar surat supaya memberi pandangan berhubung cadangan pindaan perlembagaan UMNO, hanya cawangan Alor Buluh sahaja memberi cadangan bagi pindaan perlembagaan UMNO.

KEDAH TIDAK BOLEH JADI KELANTAN KE-2


Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah secara terus terang melahirkan kebimbangan bahawa Kedah mungkin menjadi "Kelantan yang ke-2" sekiranya ahli UMNO belum insaf bahawa parti sudah tewas pada pilihanraya lepas.

Beliau yang melihat sikap ahli UMNO yang masih belum berubah sejak kekalahan mengejutkan pada pilihanraya umum ke-12 tahun lepas berkata, sekiranya ahli UMNO lebih berminat bercakaran, jatuh menjatuh dan tidak peduli untuk bekerja kepada parti, Kedah akan terus diterajui kerajaan Pakatan Rakyat.

"Sekiranya Barisan Nasional Kedah tidak berupaya mengambil alih kerajaan negeri pada pilihanraya umum ke-13 yang akan datang, kita tidak usah bermimpi untuk mengambil balik Kedah pada pilihanraya ke-14 dan seterusnya".

"Sekiranya kita gagal mengambil kembali Kedah walaupun dengan kelebihan beberapa kerusi, Kedah akan menjadi Kelantan yang ke-2 kepada UMNO", katanya.

Berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku, Bashah berkata beliau amat bimbang sekiranya Kedah gagal ditawan kembali kerana ia boleh menjejaskan moral, semangat dan survival UMNO Kedah.

"Pilihanraya ke-13 ini adalah pilihanraya yang paling kritikal untuk BN Kedah. Ia menentukan survival UMNO Kedah sendiri. Saya bimbang sekiranya kita masih belum sedar bahawa masa tiga tahun yang kita ada ini terlalu singkat. Dalam masa inilah kita perlu menjalankan segala program bagi mendekati pengundi"

"Kita sudah tidak boleh lagi bergaduh. Ketua Bahagian harus lebih agressif dan jentera di peringkat cawangan tidak lagi boleh membiarkan PAS dan PKR sahaja yang menjalankan aktiviti sedangkan kita hanya menjadi pemerhati," kata Bashah.

Beliau berkata, bukan satu tugas yang sukar untuk menawan kembali Kedah sekiranya pemimpin di setiap peringkat bersatu padu.

"Tetapi usaha menawan Kedah boleh menjadi satu usaha yang amat sukar sekiranya kita gagal menghayati semangat kerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain. Marilah kita bekerjasama demi parti kita. Lupakanlah perselisihan sesama kita. Ingatlah perjuangan mengambil kembali Kedah adalah lebih penting daripada soal peribadi mahupun soal siapa hendak jadi Menteri Besar".

Bashah yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah memohon sepenuh kerjasama daripada Ketua-ketua Bahagian supaya menyatukan barisan diperingkat bahagian dan jangan biarkan perpecahan berterusan.

Beliau juga memohon akar umbi UMNO terus memberi tenaga mereka tanpa mengira siang dan malam, huajan atau panas, bersama menjayakan program yang dijalankan UMNO.

SHAFIE YAKIN BN BAKAL TAWAN KEMBALI KEDAH


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Shafie Apdal penuh yakin Barisan Nasional berupaya menawan kembali Kedah berikutan perubahan sokongan kepada BN serta kegagalan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa dalam usaha menawan semula Kedah itu, ahli UMNO perlu bersatu padu dan bekerja keras.

"Tetapi sekiranya ahli dan pemimpin UMNO Kedah masih leka, masih tidur, masih berebut jawatan dan tidak sedar lagi bahawa mereka sudah jadi pembangkang, parti tidak akan dapat berfungsi dengan sepenuh kekuatan bagi merampas kembali Kedah".

Berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar, hari ini, Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata UMNO Kedah juga mendapat sokongan dan bantuan daripada pemimpin veteran yang telah banyak berjasa kepada negeri ini.

"Saya telah berjumpa dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Besar Tan Sri Osman Aroff di mana mereka dengan sepenuh hati menyatakan akan memberi bantuan kepada UMNO Kedah," katanya.

Beliau berkata, rentak pengundi yang mula beralih angin dengan menyokong Barisan Nasional seperti yang ditunjukkan pada pilihanraya kecil Manik Urai memberi sinar kepada BN bahawa apa yang sedang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mendapat restu rakyat.

"Di Kedah kita lihat apa yang dilakukan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak untuk memajukan negeri ini?. Apa yang dia buat untuk memajukan kawasan bandar, meningkatkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan. Kerajaan Barisan Nasional telah banyak memajukan Kedah tidak seperti kerajaan negeri sekarang yang tidak berupaya melakukan apa-apa," katanya.