Wednesday, June 10, 2009

Sentuhan Politik...isu kerajaan Perpaduan

SIDANG AKHBAR...UMNO Kedah membidas fahaman sempit kumpulan Erdogan Pas yang menolak sepenuhnya idea pembentukan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah negara.

Timbalan Pengerusi Perhubungannya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kumpulan berkenaan sebenarnya mempunyai kepentingan politik sendiri dan sanggup mengenepikan agenda untuk pembangunan negara, agama dan orang Melayu keseluruhannya.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan perlu bersikap terbuka dan memahami kehendak pemimpin mereka dengan membuat penelitian menyeluruh mengenai hasrat murni pemimpin mereka demi kepentingan negara.

"Golongan ini sebenarnya sengaja menyempitkan pandangan mereka semata-mata untuk kepentingan politik terutama untuk meraih undi perwakilan ketika Muktamar Pas ke-55 baru-baru ini,.

"Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersifat terbuka berhubung cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan, mengapa mereka perlu berdolak-dalik dan menentang idea pemimpin mereka sendiri," katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Cemerlang UPSR 2008 di sini, semalam.

Ahmad Bashah berkata, idea untuk pembentukan kerajaan perpaduan itu harus dimulakan jika ia benar-benar berorientasikan kepada pembangunan negara dan rakyat serta mengenepikan fahaman politik.

Ahmad Bashah yang juga Ketua Umno Bahagian Alor Star berkata, Umno Kedah menyambut baik dan berbangga atas cadangan kerajaan perpaduan yang dikemukan oleh Hadi.

"Umno Kedah bersedia untuk mengadakan rundingan dengan pemimpin Pas negeri bagi membincangkan perkara itu sekiranya Majlis tertinggi Umno memutuskan untuk berbuat demikian.
"Kita menyokong sepenuhnya sebarang usaha yang dilakukan demi kebaikan rakyat dan negara dalam semangat 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata Umno Bahagian Alor Star kini mengambil pendekatan ‘sentuhan berterusan’ dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Umno.

Beliau berkata, pendekatan yang diambil itu adalah sejajar dengan konsep 1Malaysia yang menuntut agar rakyat didahulukan.

No comments: