Friday, July 31, 2009

PROGRAM TURUN PADANG BIRO PEMBANGUNAN...

TIDAK DILUPAKAN... Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Ir Muhamad Guntur Mansor Tobeng (tengah) menziarahi bekas setiausaha UMNO cawangan Kampung Alor Selut, Senawi Nayan (dua kiri), 68, yang uzur sejak setahun lalu di rumahnya semalam.

Sempena program Lawatan Mesra dan meninjau masalah jalan di kawasan itu, Pengerusi Biro Pembangunan Umno Alor Setar itu turut mengambil peluang untuk beramah mesra penduduk kampung di kawasan itu.

Senawi yang sebelum itu pernah memegang jawatan setiausaha hampir 30 tahun terpaksa melepaskan jawatan itu kerana diserang angin ahmar.

Walaupun begitu beliau tetap bersemangat mengikuti perkembangan semasa UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan pusat melalui media cetak dan elektronik.

Beliau berkeyakinan melalui wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengutama rakyat adalah menjadi penentu Barisan Nasional (BN) dapat mengembalikan pemerintahan negeri ini melalui pilihanraya umum ke-13 akan.

Hadir sama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Azmi Md Isa (kiri), 54, Ketua Cawangan Kampung Kolam Abdul Malik Salim (dua kanan) dan Pengerusi JKKKP kampung itu, Aziz Budin (kanan), 59.

PROGRAM TURUN PADANG BIRO PEMBANGUNAN...

TINJAU... Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Ir Muhamad Guntur Mansor Tobeng bersama Ahli Jawatankuasanya Azmi Md Isa (kanan), 54, dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Kolam, Abdul Malik Salim, 54, melihat keadaan jalan yang rosak di Kampung Kolam, Mukim Derga, di sini, hari ini.

Kerosakan jalan sepanjang satu kilometer itu perlu dibaiki segera bagi memudahkan lebih 500 penduduk kampung yang menjadikan jalan itu untuk menjalankan urusan mereka.
Selain digunakan oleh petani untuk ke sawah dan mengeluarkan hasil tanaman padi apabila musim menuai, pelajar sekolah turut mengunakan jalan mini tar itu untuk berulang alik ke sekolah.

Pengerusi Biro Pembangunan Umno Alor Setar, Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata keadaan jalan yang rosak itu boleh mengundang bahaya kepada penduduk terutama pelajar sekolah.

Beliau berkata,masalah penduduk itu akan diajukan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, Umno sentiasa mendampingi masyarakat dan turun padang untuk mengenal pasti permasalahan penduduk termasuk aspek pembangunan.

Wednesday, July 29, 2009

BN MAMPU TAWAN SEMULA KEDAH

BN Mampu Tawan Semula Kedah : Penganalisis Politik

ALOR SETAR, 29 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mampu menawan semula Kedah daripada pakatan pembangkang dengan syarat jenteranya menggandakan usaha sedia ada dan paling kritikal, merapatkan barisan sayap parti itu, kata seorang penganalisis politik.

Pensyarah Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mustafa Ishak berkata pergerakan Pemuda dan Puteri serta juga ahli veteran memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha memastikan kemenangan calon BN.

"Harapan untuk BN di negeri ini masih ada, yang penting rapatkan barisan sayap, kerana kalau tidak kuat, susah untuk lakukan gerak kerja.

"Umno pula kena bangkit sebagai parti yang paling aktif untuk memberi motivasi kepada jentera dan memberi penjelasan kepada pengundi tentang apa bezanya BN dengan pakatan pembangkang," katanya selepas memberi taklimat tertutup tentang Hala Tuju Umno Kedah bagi Menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 di sini Selasa malam.

Mustafa berkata sekiranya BN benar-benar ingin menarik generasi muda menyokongnya, satu usaha untuk memberi nafas baru dan membangkitkan semangat berjuang dalam kalangan Pemuda dan Puteri perlu dilakukan.

Mustafa, yang juga Penasihat Strategik Umno Kedah berkata, sudah ada perubahan dalam kepimpinan tertinggi BN, tetapi itu mungkin tidak disedari dan kini terpulang kepada jentera parti itu untuk berusaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN khususnya Umno.

Beliau berkata, pada masa ini BN mempunyai kelebihan kerana tahap penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat dan keadaan itu merisaukan pakatan pembangkang.

"Saya tidak fikir pembangkang mampu kekalkan momentum kerana mereka sendiri berada dalam keadaan tertekan dan sudah ada perbalahan pendirian antara pemimpin Pas sehingga kita tidak tahu siapa sebenarnya yang berkuasa dalam parti itu," katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Umno negeri akan mengadakan program berbentuk muhasabah diri untuk membangkitkan keyakinan rakyat di samping menguatkan jentera parti itu.

"Taklimat seperti hari ini merupakan langkah pertama dan selepas ini kita akan turun ke semua peti-peti undi untuk memberikan penerangan tentang hala tuju Umno," katanya.

-- BERNAMA

UMNO ALOR SETAR ATUR STRATEGI PILIHANRAYA

UMNO Bahagian Alor Setar menganjurkan satu taklimat tentang rangka kerja bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang. Taklimat disampaikan Profesor Dr Mustafa Ishak, pakar sains politik daripada Universiti Utara Malaysia.

Hadirin yang terdiri daripada ketua cawangan dan peminpin bahagian, wanita, pemuda dan puteri telah mendapat ilmu yang berguna bagaimana untuk memastikan matlamat menawan kembali Kedah tercapai.

Perancangan sudah diterangkan, kerangka kerja juga sudah dijelaskan. Tidak ada pilihan lain, kerja keras harus dimulai sekarang.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah mahu semua cawangan dalam bahagian Alor Setar mengerakkan jentera masing-masing mulai sekarang.

"Saya memohon kepada tuan-tuan dan puan-puan serta menaruh harapan yang besar agar semua ketua cawangan bekerja dengan sepenuh tenaga bagi menawan kembali Kedah," kata Bashah semasa berucapa menutup taklimat berkenaan.

Harapan Ketua Bahagian Alor Setar kepada pemimpin peringkat cawangan itu mudah difahami kerana jentera cawangan memainkan peranan yang amat penting.

"Selepas ini, sesi taklimat tentang hala tuju UMNO Bahagian Alor Setar akan turun ke peringkat daerah mengundi bagi memberi maklumat kepada semua jentera yang hendak melaksanakan kerja," kata Bashah.

PEMBANGKANG GUSAR DENGAN RATING NAJIB

Parti pembangkang sudah gusar dengan angka-angka yang menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak semakin meningkat. Peningkatan drastik tahap keyakinan terhadap Najib dalam masa 100 hari menjadikan pembangkang tidak lena tidur.

Mereka akan berusaha mencari jalan merendahkan rating itu. Mereka akan berusaha menjatuhkan keyakinan rakyat kepada kerajaan. Mereka akan berusaha memastikan momentum sokongan kepada Barisan Nasional tidak berterusan.

Untuk itu, parti pembangkang akan melakukan pelbagai cara bagi menarik perhatian orang ramai kepada parti pembangkang, seperti yang mereka lakukan dalam kes kematian pembantu kepada ADUP DAP di Selangor.

Penganalisis politik terkenal Profesor Dr Mustafa Ishak berkata "Pembangkang amat risau dengan angin perubahan orang ramai yang mula kembali kepada Barisan Nasional. Pembangkang akan berusaha dengan pelbagai cara supaya spot light rakyat kembali ke arah pembangkang".

Dr Mustafa menjelaskan pembangkang akan mengekploitasi segala isu bagi memastikan mereka terus mendapat perhatian sehingga sampai pilihan raya umum kelak.

Pembangkang sedar sekiranya mereka gagal menyekat angin peralihan sokongan kepada BN, pembangkang bukan sahaja hanya bermimpi menguasai kerajaan persekutuan tetapi kerajaan negeri yang dikuasai mereka sekarang juga akan tumbang ke tangan BN.

Dr Mustafa berkata perubahan angin sokongan kepada BN juga berikutan tekanan yang dihadapi PAS berikutan konflik dalaman parti itu, terutama pada isu kerajaan perpaduan. Walaupun PAS cuba menafikan mereka berkonflik, orang ramai tahu sudah ada percakaran antara pemimpin atasan PAS.

"Orang tertanya siapa yang sebenarnya berkuasa di dalam PAS. Hadi selaku Presiden atau Nik Aziz yang paling berkuasa. Pengikut PAS pun resah kerana pendirian siapa yang hendak dituruti"

"Orang Melayu marah dengan sikap Nik Aziz yang menentang hasrat menyatupadukan UMNO dan PAS. Orang melihat Nik Aziz lebih penting hendak menjaga parti Pakatan Rakyat daripada menjaga perpaduan umat Melayu"

Monday, July 27, 2009

DATUK BASHAH DI FACEBOOK

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah telah mempunyai facebook.

ID facebook beliau adalah Dato Bashah Md Hanipah

Kepada ahli-ahli UMNO tak kira di mana, Jemputlah menjenguk facebook berkenaan dan buatlah pautan dengan facebook anda.

CYBER CORNER PUSAT KHIDMAT DUN BAKAR BATA

Tidak lama lagi, Pusat Khidmat DUN Bakar Bata yang terletak di Mergong akan meriah dengan para blogger. Ini kerana, UMNO Bahagian Alor Setar bercadang mewujudkan ruang blogger atau cyber corner yang dilengkapi dengan wireless intenet, makan dan minuman pula dihidangkan secara percuma.

Selepas ini, tidak perlulah lagi blogger membuat kerja di sekitar restoran dan kafe yang ada internet. Bawa laptop dan pergi sahaja ke pusat khidmat DUN Bakar Bata itu dan layarilah internet.

Kalau bernasib baik, dapat berjumpa dengan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah dan barisan kepimpinan bahagian yang lain. Mungkin akan dapat cerita "scoop" daripada mereka itu.

Bayangkan puluhan blogger berkumpul setiap hari bagi berkongsi cerita dan idea tentang segala macam jenis cerita politik yang berlaku di sekitar Kedah dan nasional. Meriah sungguh tempat itu nanti.

Sekali lagi syabas kepada Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Setar, Saudara Nasir Murad atas idea berkenaan.

UMNO ALOR SETAR JAGUH ALAM SIBER

UMNO Bahagian Alor Setar menjadi bahagian pertama di Kedah yang mempunyai portal rasmi sendiri. Daripada 15 bahagian UMNO yang ada di Kedah, UMNO Alor Setar, adalah perintis usaha menggunakan media baru sebagai saluran maklumat.

Pelancaran tak rasmi dilakukan malam Sabtu lepas. Hadirin yang terdiri daripada pemimpin peringkat cawangan dan ketua biro-biro telah dipertontonkan portal itu. Bagaimanapun orang ramai hanya boleh melayari laman web itu mulai 1 Ogos ini.

Laman web berkenaan boleh dilayari dialamat seperti berikut. www.umnoalorsetar.com

Syabas kepada Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Setar, Saudara Nasir Murad yang telah menjana idea dan kemudian menterjemah kepada realiti sehingga lahirnya portal itu.

14 lagi bahagian bolehlah mencontohi jejak langkah yang telah diambil oleh UMNO bahagian Alor Setar itu. Selepas ini, Saudara Nasir kena pulun buat portal UMNO Negeri Kedah plak.

UMNO Alor Setar juga tidak ketinggalan dengan blognya. Sudah ada 3 blog daripada bahagian termasuk blog ketua puteri dan blog naib ketua pemuda. Dan, jangan lupa nantikan kemunculan blog dan facebook Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah tidak lama lagi.

Friday, July 24, 2009

Datuk Razali Ibrahim...bijak pilih pemimpin

















Semua lapisan rakyat khususnya golongan muda, harus bijak memilih pemimpin mulai sekarang, demi melihat perpaduan dan kesejahteraan rakyat pada masa depan terpelihara.

Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, jika pemilihan pemimpin dibuat secara membuta tuli ianya dikhuatiri akan membinasakan negara.

Beliau berkata pemimpin yang tidak bertanggungjawab akan memberi kesan kepada program pembangunan negara, sekaligus menyebabkan rakyat teraniaya.

Katanya, terdapat tiga jenis pemimpin iaitu kelas pertama; pemimpin yang tahu dan bijak menyelesaikan masalah rakyat, kelas kedua; suka menimbulkan isu, namun pada masa yang sama menyelesaikannya dan kelas ketiga; tidak boleh diharap dan tidak menghiraukan kepentingan rakyat.

"Mereka ini hanya tahu mencari kesalahan orang dan tidak bekerja untuk rakyat, jadi pemimpin berkenaan tidak sesuai dipilih untuk pembinaan sesebuah negara," katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda Bahagian Alor Setar, baru-baru ini.

Razali turut mengingatkan golongan pemuda supaya jangan mudah terpengaruh serta terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang boleh mengundang ancaman kepada kestabilan dan kemakmuran negara.

JANGAN BIARKAN MEREKA TERUS MENAGIH JANJI

Blog ini pernah memaparkan mengenai penderitaan beberapa penduduk Kampung Gunung Sali, yang terletak hanya 3 km dari bandar Alor Setar.
Sebuah keluarga dilaporkan hidup dalam sebuah pondok buruk tanpa bekalan air dan elektrik sementara beberapa keluarga lagi tidak lena tidur kerana memikirkan surat peguam yang mahu menghalau mereka keluar dari rumah mereka dengan alasan tanah yang mereka duduki dimilik pihak lain.
Dilaporkan juga, UMNO Bahagian Alor Setar akan mengambil tindakan membantu keluarga berkenaan.
Tetapi sehingga kini selepas sebulan mereka dijanji akan dibantu, keluarga berkenaan masih belum mendapat jawapan pasti bagi menenangkan hati mereka. Mereka tertanya-tanya adakah mereka sudah dilupakan.
Kepada UMNO Alor Setar, kasihanilah nasib mereka itu. Lakukan sesuatu dengan segera kerana janji telah dibuat. Jangan biarkan mereka terus mengharap kepada sesuatau yang tidak pasti.
Berkomunikasilah dengan mereka memberi tahu apa yang sedang dilakukan. Berilah sedikit kegemberiaan kepada mereka yang sangat mengharap itu.

Emel daripada:
Amir Hamzah

Wednesday, July 22, 2009

MINDA PEMIMPIN: PERLUMBAAN KE PILIHANRAYA KE-13

Oleh: Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah

Dengan jangkaan pilihan raya umum ke-13 bakal berlangsung dalam masa tiga tahun lagi, semua parti telah merangka pelan tindakan bagi memenangi pilihan raya berkenaan.

Dalam konteks UMNO Kedah, pilihan raya umum ke-13 nanti amat penting dan kritikal. Ia akan menjadi satu garisan penamat sama ada Barisan Nasional dapat menawan semula Kedah ataupun terus menjadi pembangkang selama lima tahun lagi.

Di peringkat UMNO Negeri, perancangan dan stategi telah disusun bagi merampas kembali Kedah daripada kerajaan yang diterajui PAS, yang ternyata telah gagal membawa sebarang perubahan kepada negeri Kedah.

Apa yang kita rancang, susun, strategi dan sebagainya adalah ibarat "latihan intensif bagi satu perlumbaan yang besar" dengan pilihan raya umum sebagai garisan penamat. Ibarat perlumbaan itu juga, siapa yang kuat, dia akan sampai dahulu ke garisan penamat dan menjadi pemenang.

UMNO bersedia dengan segala macam perkara, tetapi jangan lupa PAS juga telah membuat persiapan dengan strategi dan teknik tersendiri.

Maka kemenangan pada pilihan raya umum ke-13 nanti adalah berdasarkan siapa yang kuat, cepat, cekap dan mengamalkan strategi yang berkesan, efisien dan menyeluruh.

Sekiranya UMNO berlari tetapi PAS berjalan, maka kemenangan sudah pasti kepada UMNO tetapi sekiranya PAS sudah berlari tetapi UMNO masih bertatih maka kita yang akan terus ketinggalan.

Oleh sebab itu, UMNO Kedah sudah tidak boleh mengamalkan sikap selesa dengan kekalahan berkenaan. Setiap jentera UMNO perlu bekerja keras mulai sekarang kerana UMNO Kedah mempunyai beban yang cukup besar.

Beban UMNO Kedah adalah merampas kembali Kedah. Merampas kembali Kedah sebenarnya tidak sesukar mana sekiranya semua ahli UMNO bekerja keras ke arah mencapai "kemenangan dalam perlumbaan berkenaan".

Tetapi sekiranya, ahli UMNO masih mahu cantas kaki kawan bagi jatuh semasa perlumbaan itu, maka masa depan yang suram menanti UMNO Kedah.

LAWATAN TIMBALAN PERDANA MENTERI KE KEDAH

Semua ahli UMNO dalam bahagian Alor Setar dijemput ke majlis berikut semperna lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kedah pada 24 Julai 2009.

8.30 pagi - Sambutan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas
9.00 pagi - Majlis Pelancaran Program Cerdik anjuran Biro Pendidikan UMNO Kedah di Sekolah Kebangsaan Taman Aman, Anak Bukit.
11.00 pagi - Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pokok Sena di Sekolah Kebangsaan Pokok Sena.

Marilah kita meluangkan masa dan beramai-ramai menghadiri majlis berkenaan. Kedatangan tuan/puan sangat dinantikan.

Tuesday, July 21, 2009

WANITA UMNO ALOR SETAR BUAT USUL TERGEMPAR

Pergerakan Wanita UMNO bahagian Alor Setar mendesak Majlis Tertinggi UMNO menetapkan pemilihan ketua-ketua wanita dibuat secara automatik dari peringkat cawangan ke bahagian.

Ketuanya, Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah berkata, selain usul pemilihan ketua wanita turut dibincangkan beberapa usul khususnya usul ekonomi, politik dan pendidikan.



Lebih 200 orang terdiri wanita dari 98 cawanagn bahagian Alor Setar hadir pada. Mesyuarat Perwakilan Wanita yang berlangsung di Bangunan Tunku, di sini, hari ini.

Majlis perasmian dilakukan Ketua UMNO bahagian yang juga Timbalan Pengerusi UMNO bahagian Alor Setar, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.



Sharifah semasa ditemui berkata, beliau mahu golongan wanita berganding bahu menjayakan program Kenduri, Bersalin, Sakit dan Mati (KBSM) yang diyakini dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO.

"Dengan adanya program itu, pemimpin akan turun padang meninjau setiap permasalahan rakyat dan membela nasib mereka sekiranya memerlukan pembelaan"katanya, di sini.

Beliau juga mahu wanita-wanita diperingkat bahagian dan cawangan berusaha mengeratkan hubungan silaturrahim dan perpaduan yang sedia terjalin agar wanita menjadi kuat untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Saturday, July 18, 2009

Umno Bahagian Diminta Tumpu Empat Perkara Perkasakan Parti

Umno Bahagian di seluruh negara yang mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing diminta memberi tumpuan kepada empat agenda utama yang disarankan Presiden Parti Datuk Seri Najib Tun Razak supaya parti itu sentiasa dapat memperbaharui perjuangan dan diperkasakan.

Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan berkata empat agenda itu ialah memastikan parti berkenaan berjaya dalam setiap pilihan raya pada masa depan; memperkuatkan parti; menyatupadukan orang Melayu; dan usaha mengukuhkan sokongan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) kepada Umno.

Beliau berkata setiap anggota Umno kini perlu berani membuat pembaharuan dalam parti supaya ia menjadi ejen tarikan kepada parti itu untuk terus menerajui BN pada masa depan.

"Anggota perlu menyedari bahawa Umno kini adalah parti milik semua rakyat dan bukan lagi untuk orang Melayu semata-mata," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Besut di sini hari ini.

Ahmad berkata Umno Bahagian yang bermesyuarat masih bebas membahaskan agenda mengenai deraf pindaan Perlembagaan Umno dengan membuat apa saja usul yang berkaitan dengannya.

Beliau berkata kertas pindaan mengenai pindaan perlembagaan itu kini diuruskan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan, yang tidak menyekat anggota menyuarakan dan menyampaikan pendapat dalam pindaan perlembagaan itu.

Ahmad seterusnya berkata satu perkara baru yang mungkin diamalkan BN dalam pilihan raya akan datang ialah dengan mewujudkan Pusat Operasi Bersepadu (POB) di setiap kawasan pilihan raya kerana ia didapati memberi kesan yang baik kepada BN dalam melancarkan urusan pilihan raya.

Katanya berdasarkan kepada apa yang dilaksanakan pada pilihan raya kecil Manik Urai baru-baru ini, POB dilihat berfungsi dengan baik dan menjadi salah satu faktor kepada peningkatan jumlah undi majoriti kepada BN.

-- BERNAMA

SEMANGAT PUTERI ALOR SETAR MEMBARA...


Pergerakan Puteri Umno Bahagian yakin mampu menarik minat golongan remaja dan wanita untuk menyertai pergerakan itu.

Ketuanya, Maizatul Miza Mohd Disa berkata keyakinan itu berdasarkan kepada pelbagai program yang direncanakan selaras dengan gagasan 1Malaysia yang memerlukan setiap pemimpin bekerja untuk rakyat.

Menurutnya, semangat yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan UMNO termasuk Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Datuk Paduka Ahmad Bashah membakar semangat barisan Puteri Bahagian untuk meneruskan agenda bersama masyarakat.

Katanya, setiap dua minggu, barisan Puteri Bahagian akan turun ke padang berjumpa dengan penduduk kampung yang dikenal pasti untuk diberi bantuan.

"Kita menggunakan pelbagai pendekatan untuk memastikan program yang dijalakan berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan.
"Cabaran yang paling besar untuk menarik mereka untuk mengisi borang keahlian Puteri. Namun semua itu bukan halangan kepada kami untuk menambat hati mereka," katanya.

Maizatul berkata, selaras dengan usaha meningkatkan keahlian, pihaknya juga mensasarkan untuk menambahkan bilangan cawangan yang membabitkan Puteri.

Menurutnya, sehingga kini keahlian Puteri mencecah hampir 1344 orang membabitkan 24 cawangan Puteri.

Katanya, dalam usaha untuk memantap jati diri dan kepimpinan barisan Puteri Bahagian Alor Setar, satu kursus jati diri dengan kerjasama Biro Tata Negara Negeri Kedah akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

UMNO Bahagian Alor Setar bakal mempunyai lamam web sendiri


Ketua Penerangan Umno Bahagian Alor Setar, Nasir Murad berkata, majlis pelancaran laman web itu akan dilancarkan pada 26 Julai 2008 jam 8.00 malam di Pusat Khidmat Adun Bakar Bata.

Beliau berkata dengan adanya laman web itu nanti, setiap ahli boleh melayarinya untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti Bahagian dan cawangan Umno Alor Setar.

"Umno Alor Setar juga mempunyai laman blog sendiri iaitu www.onealorsetar.blogspot.com yang akan dijadikan lidah rasmi bagi menampilkan isu semasa dan aktiviti Bahagian Alor Setar.

"kita menjemput semua ahli Umno untuk melayari kedua-dua laman web itu memberi maklum balas dan cadangan dalam setiap isu yang ditampilkan," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan barisan jawatankuasa Umno Bahagian, di sini.

SUMBANGAN RM4,000 KEPADA PIBG STAR MERGONG

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman (STAR) Mergong mendapat durian runtuh apabila menerima peruntukkan berjumlah RM4,000 daripada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bakar Bata mengumumkan pemberian bantuan berkenaan pada majlis Hari Anugerah Cemerlang sekolah itu pada 15 Julai 2009.

Ahmad Bashah berkata peruntukkan berkenaan bagi membolehkan PIBG sekolah itu menjalankan aktiviti bagi mengingkatkan keceriaan sekolah.

"Walaupun PIBG sekolah tidak menyuarakan keperluan mereka, saya memahami bahawa PIBG sentiasa memerlukan sumbangan bagi menjalankan pelbagai aktivit," katanya.
Sumbangan itu ternyata membawa satu berita gembira yang tidak terduga kepada PIBG sekolah berkenaan.

Wednesday, July 15, 2009

PM HADIRI MAJLIS MAKAN MALAM UMNO KEDAH...




Amaran Najib Kepada Mereka Yang Berminat Jadi Wakil Rakyat


Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada ahli UMNO yang bercita-cita menjadi wakil rakyat supaya membuktikan komitmen mereka serta berjasa kepada parti.

Presiden UMNO itu berkata ahli yang berminat perlu bekerja kuat mulai sekarang bagi memperkasakan parti agar dapat memenangi kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

"Sekarang saya beri amaran. Jangan harap (dipilih). Kami nak pilih orang yang berjasa kepada parti," katanya pada majlis makan malam UMNO Perhubungan Kedah di sini Isnin.

Perdana Menteri berkata ada ahli UMNO yang ghairah melobi untuk mendapatkan tempat dalam parti atau sebagai calon pilihan raya.

"Kalau tak dapat lobi saya, (mereka) lobi pegawai saya, kalau tak dapat pegawai saya, lobi semua orang," katanya.

Beliau meningatkan semua ahli bahawa sokongan rakyat adalah amat penting bagi memastikan UMNO terus menjadi peneraju pentadbiran negara dan kepimpinan parti sentiasa dilihat dekat di hati rakyat.

Katanya UMNO perlu diperlihatkan sebagai sebuah parti yang mendahului zaman dan tidak membiarkan pihak lain yang menjadi juara pembaharuan.

Najib berkata pentadbirannya akan sentiasa mendengar suara rakyat yang merupakan suara keramat dalam sistem demokrasi berparlimen.

Oleh itu, menurut Perdana Menteri, setiap pemimpin UMNO perlu mencerminkan parti itu sebagai sebuah parti yang mengutamakan rakyat.

Katanya, usaha memulihkan kekuatan parti di negeri itu perlu dilakukan dengan sebaik mungkin dan mengelakkan sikap "enau dalam belukar" yang hanya gemar melepaskan pucuk masing-masing.

Beliau berharap UMNO Kedah tidak selamanya menjadi pembangkang dalam kerajaan pakatan di negeri itu.

Majlis itu turut dihadiri oleh bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Othman Arof dan Datuk Seri Mahadzir Khalid.

SENTUHAN 1MALAYSIA...PERDANA MENTERI, DATUK SERI NAJIB RAZAK DI PEKAN RABU...


Sempena lawatan rasmi ke Kedah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempat meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama Datin Seri Rosmah Mansor melawat Pekan Rabu dan beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga di situ.
Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah bermasa pemimpin Umno lain turut mengiringi Perdana Menteri salah satu destinasi popular di Kedah.
Perdana Menteri sempat membeli songkok, dodol, halua maskat dan kuih loyang selain chempedak goreng di situ.
Beliau berkata konsep Pekan Rabu amat menarik kerana memberi peluang kepada peniaga kecil memasarkan produk mereka selain turut mencadangkan supaya peniaga menjual barang yang ada kelainan daripada barang sedia ada.

Sunday, July 12, 2009

MAJLIS MAKAN DURIAN MERIAH...





TUNJUK BAKAT...Datuk Paduka Ahmad Bashah menunjukkan kebolehannhya untuk membuka buah durian dan buah chempedak dalam majlis makan buah durian di Pusat Khidmat Adun Bakar Bata, Mergong, semalam.

lebih 300 tetamu termasuk Timbalan Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Ir Mohamad Guntor Mansor Tobeng, barisan kepimpinan Umno Bahagian, Wanita, Puteri dan Pemuda yang masyarakat setempat hadir untuk memeriahkan majlis berkenaan.

Datuk Paduka Ahmad Bashah berkata, majlis berkenaan diadakan bagi menjalinkan hubungan mesra antara barisan penggerak Umno Bahagian Alor Setar yang banyak berkorban untuk perjuangan Umno.

beliau berkata lebih 700 biji durian dan buah-buahan tempatan lain seperti rambutan, manggis dan chempedak yang dibawa khas dari Baling untuk dihidangkan kepada tetamu yang hadir.

Thursday, July 9, 2009

SENTUHAN BIRO KEBAJIKAN...


HANYA UMNO YANG MAMPU...

"Kita akan terus membantu merencanakan pelbagai program pembangunan pendidikan dan kebajikan terutama dalam membantu masyarakat tang memerlukan bantuan dan sentuhan keramat daripada UMNO," kata Mohd Yusof Ismail.

Naib Ketua Bahagian Alor Setar itu berkata, melalui Biro kebajikan, beliau akan terus menambur bakti kepada masyarakat yang memerlukan bantuan di bahagian itu.

Menurutnya, tiga program utama sudah diatur iaitu program sumbangan kepada pelajar yang berjaya memasuki IPTA/IPTS, Sumbangan sempena Bulan Ramadhan dan Bantuan Bencana Alam.

Katanya, satu majlis penyampaian sumbangan itu sudah diadakan di Hotel Star City, baru-baru ini dan sebanyak RM200,000 sudah diperuntukkan untuk kejayaan program berkenaan.

Biro kebajikan turut memberi sumbangan berupa peralatan jenazah berupa kain sepasang kain kapan sekiranya berlaku kematian di Parlimen Alor Star.

Wednesday, July 8, 2009

KBS mula 'panik' aksi pelik takraw

Kita tak mahu dengar alasan: Razali

AIB yang dicipta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kini menyaksikan Kementerian Belia dan Sukan seakan-akan menekan butang panik ketika mentakrif 'era gelap' itu sebagai masalah besar, bimbang populariti sukan warisan itu merudum dan lebih menakutkan ia digugurkan daripada sukan teras.

Andai kata dikota, ia bakal menyaksikan limpahan berjuta ringgit yang setiap tahun dipohon PSM akan berakhir kecuali langkah pemulihan segera dilakukan terutama ketika sudah ada bayangan usul untuk turut menggugurkan sepak takraw daripada Sukan Asia.

Sepakat dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Datuk Razali Ibrahim, betapa kekalahan skuad negara adalah memalukan selain menuntut laporan penuh daripada PSM.

“Adalah mendukacitakan kita tewas kepada pasukan yang sebelum ini dianggap kerdil dan ia memberi tafsiran memalukan di kalangan peminat. Kita mahu mengenal pasti apakah punca keadaan ini,” kata Ahmad Shabery, semalam.

# Kedah pada zaman Adnan Saidin (raja gulung), Azman (tekong),Malik Samsudin dan ramai lagi bekas pemain kebangsaan cukup digeruni dalam permainan ini.
Diharap pihak KBS dapat mengumpul semula jaguh-jaguh ini dalam membantu menaikkan kembali maruah skuad takraw di negara ini.

CATATAN PEMIMPIN: TELADAN DARIPADA SI CILIK

Oleh: Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah
Ketua UMNO Bahagian Alor Setar

Semasa satu majlis gotong royong membersihkan kawasan yang diadakan di Kampung Suka Menanti Hilir pada 3 Julai lepas, yang dianjurkan UMNO Bahagian Alor Setar, ada seorang kanak-kanak kecil yang begitu tekun bersama orang lain membersihkan kawasan kampung.

Beliau tidak kekok, segan silu melakukan pekerjaan yang dilakukan orang dewasa itu. Beliau juga tidak malu untuk bersama dengan golongan yang lebih dewasa daripada beliau.

Tertarik dengan gelagat beliau, lantas diluahkan pertanyaan kepada beliau kenapa seawal usia 6 tahun sanggup turun bersama dengan golongan dewasa sedangkan kanak-kanak sebaya beliau lebih leka bermain bersama kawan-kawan.

Lantas jawapan beliau adalah mahu membuat ibadah.

Terpegun dengan jawapan itu, lantas ditanya pula siapakah yang mengasuh beliau. Diberitahunya bahawa didikan tentang membuat kebaikan itu diterima di tadikanya iaitu tadika yang diuruskan oleh KEMAS.

Syukur kepada Allah, kerana segala pengorbanan para guru di Tadika KEMAS telah melahirkan seorang kanak-kanak yang mempunyai keperibadian yang sangat mulia.

Kanak-kanak lelaki yang berusia 6 tahun itu, bukan seorang sahaja hasil didikan Tadika Kemas yang telah menjadi insan yang mulia, tetapi di seluruh negara Tadika KEMAS teah berjaya menyediakan kanak-kanak dengan ilmu yang lengkap ke arah kanak-kanak itu melangkah ke alam persekolahan.

Syabas kepada guru-guru Tadika Kemas.

MAJLIS MAKAN DURIAN BERSAMA TEKUN KEDAH...

SELERA...Ketua Umno Bahagian Alor Star, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah bersama Umno Alor Setar termasuk pengurusan Tekun cawangan Alor Star dalam majlis makan durian di Pusat Khidmat Adun Bakar Bata, baru-baru ini.


Saturday, July 4, 2009

PROGRAM GERAK MESRA UMNOBAHAGIAN ALOR SETAR..



1MALAYSIA...RAKYAT DIDAHULUI PENCAPAIAN DIUTAMAKAN...

"Hanya UMNO sahaja yang boleh bantu kami. Teruskan usaha murni ini dan ganjaran pasti akan menanti UMNO nanti.". Itulah antara kata-kata yang dilafaskan oleh penduduk di Kampung Suka Menanti, Kampung Suka Menanti Hilir dan Kampung Seberang Terus kepada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.

Program tiga hari yang membabitkan tiga sayap UMNO ALOR SETAR iaitu Wanita, Pemuda Puteri UMNO itu berjaya memberi sentuhan baru kepada 60 keluarga di kampung berkenaan
Antara penerima sumbangan tersebut ialah Salmah Ashaari, 69, dari Kampung Suka Menanti yang lumpuh sejak sejak enam tahun lalu.

Selain menyampaikan sumbangan makanan kepada Salmah, Datuk Ahmad Bashah sempat meluang masa dan memberi sentuhan kemasyarakat yang sem emangnya dinantikan oleh golongan berkenaan.
Hadir dalam melaksanakan misi sentuhan 1Malaysia UMNO Alor Setar ini ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Ir Mohamad Guntor Mansor Tobeng dan Exco Pemuda Malaysia, Zubir Zabidi dan Pengarah Kemas Kedah, Adnan Daud.

Program Gerak Mesra Gerakan Daya Wawasan anjuran Kemas Parlimen Alor Setar itu turut mengadakan gotong royong membersih kawasan masjid, kubur, ceramah agama, pemeriksaan kesihatan dan pameran Bomba dan Penyelamat berakhir esok di Sekolah Kebangsaan Suka Menanti.
Apa yang pasti usaha murni jentera UMNO Bahaian Alor Setar tidak akan berhenti di situ sahaja malah pelbagai program direncanakan selaras dengan perjuangan UMNO untuk membela nasib anak bangsa.

Friday, July 3, 2009

BARISAN NASIONAL KEDAH SEDIA KERJASAMA DENGAN WAKIL RAKYAT BEBAS

Barisan Nasional (BN) Kedah mempelawa wakil rakyat daripada DAP yang telah mengisytiharkan beliau wakil rakyat bebas untuk bekerjasama dalam pelbagai isu yang membabitkan kepentingan rakyat di negeri Kedah.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau bersedia berjumpa dengan Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Darul Aman, Lim Guan Aik bagi membincangkan bentuk kerjasama yang boleh dijalin antara BN dan wakil akyat DAP yang bertindak selaku wakil bebas itu.

"Saya bersedia mendekati wakil rakyat itu bagi membincang pelbagai perkara yang menyentuh tentang kepentingan rakyat Kedah," katanya.

Beliau berkata pelbagai isu yang timbul dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang memerlukan perhatian serius wakil rakyat.

"Guan Aik berkata beliau menyokong pihak yang benar sahaja, dan kenyataan itu adalah selari dengan dasar BN kerana kita adalah sebuah parti yang benar menunaikan janji dan menjaga kepentingan rakyat. Walaupun beliau tidak mahu menyokong BN, ada isu tertentu yang boleh kita duduk semeja berbincang dan menjalinkan kerjasama demi kepentingan rakyat Kedah," katanya kepada pemberita pada Program Mesra Rakyat di Kampung Suka Menanti Hilir, di sini, hari ini.

Ahmad Bashah yakin Guan Aik boleh bergerak dengan lebih bebas dalam memperjuangkan kepentingan rakyat apabila menjadi wakil rakyat bebas.

Mengulas mengenai pertemuan Pemuda UMNO dan PAS, Ahmad Bashah yang menyambut baik langkah berkenaan berkata, pertemuan generasi muda itu satu permulaan yang baik dan diharap dapat merintis jalan kepada pertemuan pemimpin diperingkat tertinggi kedua parti orang Melayu itu.

Katanya pertemuan pemimpin pemuda UMNO dan PAS adalah satu tindakan yang wajar dipuji dan diteladani.

"Saya amat berharap, pemimpin PAS dapat membuka mata bahawa kerjasama antara kedua parti dapat dijalinkan seperti yang dibuktikan hasil pertemuan Pemuda UMNO dan PAS," katanya.

PROGRAM TURUN KE PADANG UMNO BAHAGIAN ALOR SETAR

UMNO Bahagian Alor Setar akan melaksanakan Program Mesra Rakyat dengan turun ke kampung yang terletak di dalam kawasan Parlimen Alor Setar bagi mendekatkan diri dengan masyarakat dan memahami masalah yang dihadapi orang ramai, tanpa mengira fahaman politik.

Kampung Suka Menanti, Kampung Suka Menanti Hilir dan Kampung Seberang Pantai Johor menjadi persinggahan pertama program berkenaan, yang berlangsung tiga hari mulai Khamis lepas.Program berkenaan adalah anjuran Kemas Parlimen Alor Setar.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata menerusi program berkenaan, anggota jawatankuasa UMNO Bahagian Alor Setar dan disertai pegawai daripada KEMAS serta pemimpin peringkat cawangan dalam bahagian berkenaan akan melawati rumah-rumah yang telah dikenalpasti bagi menyampaikan bantuan kepada orang susah, orang kurang upaya dan orang sakit.

Pegawai KEMAS juga melakukan bancian terhadap pelbagai golongan yang memerlukan bantuan supaya bantuan seperti untuk orang susah dapat disalurkan dengan segera kepada mereka yang sangat memerlukan, katanya.

“Program itu akan menjelajah semua kampung yang terdapat di dalam Parlimen Alor Setar yang akan dilaksanan secara berperingkat. Sekarang kita mulakan di kawasan yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri Bakar Bata dan selepas ini kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Darulaman dan Alor Mengkudu,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberi bantuan kepada orang sakit dan orang tua di Kampung Suka Menanti Hilir, pada 4 Julai 2009.

Selain program melawat isi rumah di kawasan perkampungan, Program Mesra Rakyat itu melibatkan pelbagai aktiviti seperti pameran agensi kerajaan, gotong royong, ceramah pedana, kenduri kampung, sukaneka dan demontrasi masakan.

Ahmad Bashah yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata program itu telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada penduduk setempat.

“Mereka terharu dengan bantuan yang diberikan dan menyambut baik sikap pemimpin yang sanggup turun ke padang bertemu dan mendengar permasalahan rakyat,” katanya.

PETIKAN SIDANG MEDIA YB DATUK PADUKA AHMAD BASHAH MD HANIPAH PADA 2 JULAI 2009

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata tindakan DAP yang mahu keluar daripada kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah sememangnya sudah dijangka sejak pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah

Katanya, tindakan DAP itu tidak mengejutkan kerana sejak dari awal pembentukan kerajaan di Kedah, DAP sememangnya telah diketepikan.

"Sejak awal penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah paa Mac 2008, ramai pihak sudah melihat akan ada pergolakan kerana tiga parti berkenaan (PAS, PKR dan DAP)sebenarnya tidak bersatu hati walaupun mereka mendakwa bahawa mereka adalah sepakat dalam mentadbir negeri Kedah."

"Hari ini kita lihat, bibit perpecahan yang sudah ada sejak awal sudah pecah dan terburai," katanya.

Beliau berkata walaupun tiga parti itu cuba meniru pakatan yang dibentuk Barisan Nasional (BN), namum matlamat dan bentuk perjuangan PR jauh berbeza sama sekali dengan BN. PR diasaskan hanya atas matlamat mahu menumbangkan BN dan meletak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

"Itu sahaja matlamat PR iaitu meletak Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Parti itu tidak ada perancangan, hala tuju dan "master plan" bagaimana untuk mentadbir negara ini," katanya.

Ahmad Bashah berkata beliau tidak menolak apa yang sedang berlaku di Kedah sekarang ini, juga bakal berlaku di negeri lain yang ditadbir oleh PR.

Beliau juga berkata, daripada apa yang sedang berlaku sekarang, rakyat sudah dapat membuat penilaian betapa rapuhnya kestabilan kerajaan negeri Kedah sekarang.

DAP KELUAR PAKATAN: SIAPA YANG UNTUNG?

OLEH: Ir Guntor Tobeng Mansor Tobeng
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar

DAP ugut nak keluar pakatan. Jadi apa hebatnya dengan cerita itu.Saya tidak melihat tindakan itu sesuatu yang perlu dipandang serius sangat di pihak Barisan Nasional (BN) mahupun UMNO Kedah. Ia tidak lebih hanya satu koleksi cerita atau berita yang akan mati dan tenggelam dalam masa seminggu dua lagi.

Saya melihat tindakan DAP itu tidak menguntungkan BN/UMNO Kedah dari apa sudut sekalipun mahupun merugikan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang dikuasai secara total oleh PAS.

Harus dilihat tindakan DAP itu adalah tindakan politik dalam konteks parti mereka yang sentiasa pentingkan diri sendiri. DAP seperti lumrahnya, tidak pernah bersetuju dengan parti lain. DAP beranggapan mereka adalalah parti terbaik, parti pilihan, parti contoh dan parti yang paling sempurna di Malaysia.

Falsafah DAP itu adalah hasil ajaran "god father" mereka di negara jiran selatan semenanjung Malaysia, yang mahu mengajar Malaysia bagaimana caranya hendak mentadbir negara ini dengan mengikut acuan mereka yang kononnya adalah sebuah negara yang amat sempurna.

Berbalik kepada kisah DAP Kedah itu, timbul persoalan kalau benar DAP tarik diri sekalipun, adakah ia akan mengubah senario politik di Kedah. Jawapannya sudah pasti tidak kerana kerajaan Pakatan Rakyat masih berkuasa. Cuma ia hilang satu majoriti, daripada majoriti 4 kerusi kepada 3 kerusi. Dan wakil rakyat tunggal daripada DAP itu akan bertindak selaku calon bebas, menjadi suara sumbang dalam dewan undangan negeri Kedah yang mempunyai 36 kerusi itu.

Diambil kira juga wakil rakyat DAP itu menjadi calon bebas, BN masih juga tidak akan menguasai kerajaan negeri, melainkan BN berjaya mendapat 4 lagi kerusi bagi membentuk satu kerajaan lemah dengan kelebihan satu kerusi sahaja.

Adakah wakil rakyat daripada PKR yang seramai 4 orang akan ikut wakil DAP itu keluar daripada kerajaan Kedah. Kemungkinan terjadi sememangnya ada, tetapi saya tidak memberi peluang yang besar kepada senario wakil rakyat PKR turut lari daripada kerajaan sekarang.

Dari sudut firasat politik, tindakan DAP Kedah itu sudah pasti akan ditentang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia boleh menjejaskan matlamat ulung beliau mahu menjadi Perdana Menteri. Keretakan dalam Pakatan Rakyat adalah bencana bagi beliau.

Sudah pasti, dengan pelbagai helah dan janji, Anwar Ibrahim akan mengarahkan DAP Pusat supaya mengagalkan usaha DAP Kedah untuk menarik diri daripada kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah.

Bagi Anwar Ibrahim, dalam keadaan sekarang iaitu tempoh edah sebelum pilihanraya umum ke-13, parti-parti yang mahu menjatuhkan Barisan Nasional tidak boleh berpecah, kalau ada yang tidak puas hatipun jangan luahkan, biar bernanah pun tidak mengapa.

Yang penting bagi Anwar Ibrahim, rampas dahulu kerajaan persekutuan dan selepas itu apa nak jadi kepada Pakatan Rakyat kita kira kemudian.

Hakikatnya, biarkan sahaja kecoh dan retak antara DAP dan PAS Kedah itu berlegar antara mereka. Biarkan masalah rumahtangga mereka diselesaikan antara mereka dan jika talak sudahpun sah dijatuhkan, biarkan sahaja DAP menjadi janda berhias.

Thursday, July 2, 2009

Pakatan Rakyat di Kedah ibarat retak menanti belah...

Ibarat retak menanti belah, begitulah pandangan penganalisis mengenai kedudukan kerajaan pakatan pembangkang diterajui Pas di Kedah sekarang.

Kerajaan yang dipimpin Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku Menteri Besar dilihat sebagai rapuh kerana Pas dan DAP khususnya sering bercakaran sesama sendiri.

Kemuncak kepada pergeseran ini tercetus semalam apabila DAP negeri membuat keputusan untuk keluar daripada pakatan itu kerana menyifatkan kerajaan pimpinan Pas itu tidak sensitif dan gagal menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian memberitahu bahawa keretakan dalam pakatan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat, sebenarnya berpunca daripada ketiadaan kesefahaman yang kukuh.

Katanya apa yang berlaku di Kedah memperlihatkan seolah-olah banyak isu sesama mereka belum selesai dan pemimpin mereka belum matang dalam pembentukan sebuah kerajaan.

Sivamurugan berkata, akibat terlalu berpolitik, mereka mungkin lupa mengenai kebajikan rakyat yang harus diberi keutamaan.

Katanya, masalah paling besar ialah setiap negeri yang dipimpin oleh gabungan tiga parti itu mempunyai perspektif yang berbeza dan mereka belum ada kesefahaman yang komprehensif.

Sebagai contoh, katanya, di Selangor perspektif kerajaan itu adalah dari sudut kepimpinan PKR, di Pulau Pinang pula ialah DAP dan di Kedah pula keutamaannya ialah PAS.

"Ketidaksepakatan inilah yang menyebabkan sehingga meroboh pusat penyembelihan babi pun menjadi satu isu yang besar," katanya.

Wednesday, July 1, 2009

DAP KEDAH KELUAR PAKATAN RAKYAT...

DAP Kedah hari ini keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pas di negeri ini antara lain termasuk tindakan merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di sini.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su bagaimanapun menyerahkan keputusan sama ada DAP Kedah kekal dalam pakatan pembangkang kepada pemimpin Pusat parti itu.

“Kami kesal kerana kerajaan negeri gagal dalam memberi keadilan kepada semua masyarakat di negeri ini.

“Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Pas untuk semua, namun mereka gagal menunjukkannya apabila banyak isu tidak diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Su memberitahu, antara perkara yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan negeri adalah isu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya yang dirobohkan hari ini oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

“Memang pusat ini didirikan di tanah milik MBAS namun kerajaan negeri ada kuasa untuk menangguhkan kerja-kerja merobohkan tempat ini.

“Tempoh sebulan yang diberikan kepada pengusaha di pusat ini untuk mencari kawasan lain tidak mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, DAP berpendapat janji kerajaan negeri untuk berlaku adil kepada semua pihak tidak dilaksanakan.

“Banyak isu yang mengguris perasaan rakyat di negeri ini dan isu pusat penyembelihan babi membawa unsur negatif kepada rakyat di sini.

“Kami juga tidak puas hati apabila kerajaan negeri tetap berkeras menaikkan kuota 50 peratus kepada pembeli rumah bumiputera di negeri ini,” katanya.


#SAMADA INI SANDIWARA POLITIK DAP ATAU TIDAK, YANG PASTI KEPUTUSAN DAP KEDAH JELAS MENCABAR KEWIBAWAAN KERAJAAN NEGERI KEDAH DI BAWAH PIMPINAN MB DATUK SERI AZIZAN YANG JELAS TERPALIT DENGAN KEPUTUSAN INI.

JELAS SEKALI ISU KEMASYARAKATAN INI GAGAL DITANGANI DENGAN BIJAK OLEH BARISAN PIMPINAN EXCO PAKATAN RAKYAT YANG BANYAK MENDIAMKAN DIRI DAN CUBA LEPAS TANGAN...