Wednesday, June 10, 2009

Sentuhan Berterusan...

PENGHARGAAN KEPADA PELAJAR CEMERLANG...Seramai 100 pelajar di Parlimen Alor Setar yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Penilaian Menengah Rendah (UPSR) tahun lalu menerima sebuah basikal dan wang tunai daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Selasa lalu.
Program tahunan anjuran Biro Pelajaran Umno Bahagian Alor Setar itu diadakan bagi memberi penghargaan kepada pelajar berkenaan di atas kejayaan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR tahun lalu.
Ahmad Bashah yang juga Ketua Umno Bahagian Alor Setar, berkata sebanyak RM25,000 diperuntukkan bagi program berkenaan selaras dengan usaha Umno untuk memberi kemudahan terbaik kepada rakyat terutama di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, kejayaan pelajar terbabit adalah hasil pengorbanan pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan guru-guru selain usaha serta kesungguhan pelajar itu sendiri untuk mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan berkenaan.
"Kerajaan mengeluarkan belanja yang banyak untuk memastikan setiap pelajar di negara ini mendapat pendidikan yang sempurna.
"Pelajar-pelajar ini adalah aset kepada negara dan kita akan terus memberi perhatian dan penghargaan di atas setiap kejayaan yang mereka kecapi," katanya ketika merasmikan majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar terbabit di Pusat Khidmat Adun Bakar Bata, dekat sini, Selasa lalu.
Selain itu, pada majlis yang sama, beliau turut mengumumkan insentif sebanyak RM500 untuk diberikan kepada pelajar di Parlimen Alor Star yang mendapat tawaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta pada tahun ini.
Menurutnya, satu majlis penyerahan insentif berkenaan akan diadakan pada 26 Jun ini sebagai perhargaan kepada pelajar terbabit yang mendapat keputusan yang cemerlang sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Katanya, pelbagai usaha sedang dirancang untuk memastikan sentuhan 1Malaysia yang diwar-warkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dapat sampai ke peringkat akar umbi.
"Apa yang dilakukan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Umno yang bakal membawa perubahan kepada rakyat di negeri ini," katanya.

No comments: