Saturday, June 27, 2009

Sentuhan Kebajikan...demi generasi mendatang...

TERHARU..tiada kata yang mampu diucapkan oleh 400 pelajar cemerlang termasuk ibu bapa mereka yang nyata begitu gembira terharu atas keprihatinan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan barisan pimpinannya yang menghulurkan sumbangan wang tunai kepada mereka. Sebanyak RM 150,000 telah diperuntukkan kepada semua pelajar cemerlang seluruh Parlimen Alor Setar yang berjaya memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) awal Julai depan. Sambutan di luar dugaan daripada warga Parlimen Alor Setar yang memenuhi setiap ruang yang terdapat di dewan itu memberi mesej jelas bahawa UMNO berjaya menambat hati mereka. Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, setiap pelajar di Parlimen Alor Setar yang berjaya memasuki IPTA/ IPTS akan diberikan sumbangan wang pendahuluan untuk memasuki pusat pengajian itu nanti.
Menurutnya, sumbangan itu diberikan atas kesedaran dan sebagai penghargaan kerajaan kepada anak-anak negeri ini amnya dan parlimen ini khususnya di atas kejayaan mereka dalam bidang pelajaran masing-masing.
" Kami sentiasa menyedari keperluan dan kehendak yang diperlukan terutamanya oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berjaya memasuki ke pusat pengajian tinggi untuk melanjutkan pelajaran mereka kelak.
" Jadi atas inisiatif itu, kami merasakan kebajikan ibu bapa dan pelajar ini perlu dilihat dan diberikan perhatian supaya mereka dapat melakukan persiapan lebih awal untuk melangkah masuk ke pusat pengajian tinggi itu," katanya ketika majlis Penyampaian Sumbangan kepada Pelajar-pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke IPTA/IPTS anjuran Biro Kebajikan UMNO Bahagian itu.
Seramai 400 pelajar yang berjaya memasuki IPTA/IPTS di seluruh Parlimen Alor Setar hadir menerima sumbangan wang tersebut bersama keluarga masing-masing. Hadir sama ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian,Muhamad Guntur Mansor Tobeng, Naib Ketua, Yusoff Ismail dan barisan kepimpinan UMNO Alor termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Bagi pelajar yang memasuki IPTA/IPTS di peringkat ijazah menerima sebanyak RM 500 setiap seorang, manakala bagi peringkat diploma dan matrikulasi masing-masing menerima RM 300 setiap seorang.
Ahmad Bashah yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah itu berkata, setiap pelajar yang berjaya memasuki IPTA/IPTS itu akan diberikan galakkan yang sepenuhnya untuk mereka melanjutkan pengajian mengikut peringkat masing-masing.
Menurutnya, semua pelajar yang berjaya dalam pelajaran itu perlu berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa hadapan diri sendiri, keluarga, agama, bangsa dan juga negara.
" Kami bersedia memberikan apa juga bantuan dan sokongan yang diperlukan oleh ibu bapa untuk memberikan pendidikan yang terbaik asalkan anak-anak mereka dapat berusaha menjadi insan yang cemerlang dalam pelajaran.
" Justeru saya berharap anak-anak muda ini dapat menjadi insan yang berguna untuk negara sekaligus berjaya menjadi modal insan yang terbaik dalam pembangunan negara pada masa akan datang," katanya.

2 comments:

aktivis said...

Syabas UMNO Bahagian...ini lah antara program yang baik...walaupun melibatkan pemberian tetapi mempunyai pengisian yang baik

lidahbercabang said...

hehe... aku pun dapat RM... Terima Kasih bapa Yusof (Naib)...