

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah secara terus terang melahirkan kebimbangan bahawa Kedah mungkin menjadi "Kelantan yang ke-2" sekiranya ahli UMNO belum insaf bahawa parti sudah tewas pada pilihanraya lepas.
Beliau yang melihat sikap ahli UMNO yang masih belum berubah sejak kekalahan mengejutkan pada pilihanraya umum ke-12 tahun lepas berkata, sekiranya ahli UMNO lebih berminat bercakaran, jatuh menjatuh dan tidak peduli untuk bekerja kepada parti, Kedah akan terus diterajui kerajaan Pakatan Rakyat.
"Sekiranya Barisan Nasional Kedah tidak berupaya mengambil alih kerajaan negeri pada pilihanraya umum ke-13 yang akan datang, kita tidak usah bermimpi untuk mengambil balik Kedah pada pilihanraya ke-14 dan seterusnya".
"Sekiranya kita gagal mengambil kembali Kedah walaupun dengan kelebihan beberapa kerusi, Kedah akan menjadi Kelantan yang ke-2 kepada UMNO", katanya.
Berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku, Bashah berkata beliau amat bimbang sekiranya Kedah gagal ditawan kembali kerana ia boleh menjejaskan moral, semangat dan survival UMNO Kedah.
"Pilihanraya ke-13 ini adalah pilihanraya yang paling kritikal untuk BN Kedah. Ia menentukan survival UMNO Kedah sendiri. Saya bimbang sekiranya kita masih belum sedar bahawa masa tiga tahun yang kita ada ini terlalu singkat. Dalam masa inilah kita perlu menjalankan segala program bagi mendekati pengundi"
"Kita sudah tidak boleh lagi bergaduh. Ketua Bahagian harus lebih agressif dan jentera di peringkat cawangan tidak lagi boleh membiarkan PAS dan PKR sahaja yang menjalankan aktiviti sedangkan kita hanya menjadi pemerhati," kata Bashah.
Beliau berkata, bukan satu tugas yang sukar untuk menawan kembali Kedah sekiranya pemimpin di setiap peringkat bersatu padu.
"Tetapi usaha menawan Kedah boleh menjadi satu usaha yang amat sukar sekiranya kita gagal menghayati semangat kerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain. Marilah kita bekerjasama demi parti kita. Lupakanlah perselisihan sesama kita. Ingatlah perjuangan mengambil kembali Kedah adalah lebih penting daripada soal peribadi mahupun soal siapa hendak jadi Menteri Besar".
Bashah yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah memohon sepenuh kerjasama daripada Ketua-ketua Bahagian supaya menyatukan barisan diperingkat bahagian dan jangan biarkan perpecahan berterusan.
Beliau juga memohon akar umbi UMNO terus memberi tenaga mereka tanpa mengira siang dan malam, huajan atau panas, bersama menjayakan program yang dijalankan UMNO.