Friday, July 3, 2009

BARISAN NASIONAL KEDAH SEDIA KERJASAMA DENGAN WAKIL RAKYAT BEBAS

Barisan Nasional (BN) Kedah mempelawa wakil rakyat daripada DAP yang telah mengisytiharkan beliau wakil rakyat bebas untuk bekerjasama dalam pelbagai isu yang membabitkan kepentingan rakyat di negeri Kedah.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau bersedia berjumpa dengan Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Darul Aman, Lim Guan Aik bagi membincangkan bentuk kerjasama yang boleh dijalin antara BN dan wakil akyat DAP yang bertindak selaku wakil bebas itu.

"Saya bersedia mendekati wakil rakyat itu bagi membincang pelbagai perkara yang menyentuh tentang kepentingan rakyat Kedah," katanya.

Beliau berkata pelbagai isu yang timbul dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang memerlukan perhatian serius wakil rakyat.

"Guan Aik berkata beliau menyokong pihak yang benar sahaja, dan kenyataan itu adalah selari dengan dasar BN kerana kita adalah sebuah parti yang benar menunaikan janji dan menjaga kepentingan rakyat. Walaupun beliau tidak mahu menyokong BN, ada isu tertentu yang boleh kita duduk semeja berbincang dan menjalinkan kerjasama demi kepentingan rakyat Kedah," katanya kepada pemberita pada Program Mesra Rakyat di Kampung Suka Menanti Hilir, di sini, hari ini.

Ahmad Bashah yakin Guan Aik boleh bergerak dengan lebih bebas dalam memperjuangkan kepentingan rakyat apabila menjadi wakil rakyat bebas.

Mengulas mengenai pertemuan Pemuda UMNO dan PAS, Ahmad Bashah yang menyambut baik langkah berkenaan berkata, pertemuan generasi muda itu satu permulaan yang baik dan diharap dapat merintis jalan kepada pertemuan pemimpin diperingkat tertinggi kedua parti orang Melayu itu.

Katanya pertemuan pemimpin pemuda UMNO dan PAS adalah satu tindakan yang wajar dipuji dan diteladani.

"Saya amat berharap, pemimpin PAS dapat membuka mata bahawa kerjasama antara kedua parti dapat dijalinkan seperti yang dibuktikan hasil pertemuan Pemuda UMNO dan PAS," katanya.

No comments: