Wednesday, July 15, 2009

PM HADIRI MAJLIS MAKAN MALAM UMNO KEDAH...




Amaran Najib Kepada Mereka Yang Berminat Jadi Wakil Rakyat


Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada ahli UMNO yang bercita-cita menjadi wakil rakyat supaya membuktikan komitmen mereka serta berjasa kepada parti.

Presiden UMNO itu berkata ahli yang berminat perlu bekerja kuat mulai sekarang bagi memperkasakan parti agar dapat memenangi kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

"Sekarang saya beri amaran. Jangan harap (dipilih). Kami nak pilih orang yang berjasa kepada parti," katanya pada majlis makan malam UMNO Perhubungan Kedah di sini Isnin.

Perdana Menteri berkata ada ahli UMNO yang ghairah melobi untuk mendapatkan tempat dalam parti atau sebagai calon pilihan raya.

"Kalau tak dapat lobi saya, (mereka) lobi pegawai saya, kalau tak dapat pegawai saya, lobi semua orang," katanya.

Beliau meningatkan semua ahli bahawa sokongan rakyat adalah amat penting bagi memastikan UMNO terus menjadi peneraju pentadbiran negara dan kepimpinan parti sentiasa dilihat dekat di hati rakyat.

Katanya UMNO perlu diperlihatkan sebagai sebuah parti yang mendahului zaman dan tidak membiarkan pihak lain yang menjadi juara pembaharuan.

Najib berkata pentadbirannya akan sentiasa mendengar suara rakyat yang merupakan suara keramat dalam sistem demokrasi berparlimen.

Oleh itu, menurut Perdana Menteri, setiap pemimpin UMNO perlu mencerminkan parti itu sebagai sebuah parti yang mengutamakan rakyat.

Katanya, usaha memulihkan kekuatan parti di negeri itu perlu dilakukan dengan sebaik mungkin dan mengelakkan sikap "enau dalam belukar" yang hanya gemar melepaskan pucuk masing-masing.

Beliau berharap UMNO Kedah tidak selamanya menjadi pembangkang dalam kerajaan pakatan di negeri itu.

Majlis itu turut dihadiri oleh bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Othman Arof dan Datuk Seri Mahadzir Khalid.

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah Umno Bahagian Alor Setar kerana berjaya menjalankan tanggungjawap semasa Program Bersama PM. Bekerjasama dalam segala perkara membawa kepada kejayaan semua. Ingatlah amaran yang amat jelas dari Perdana Menteri..!! Jangan nak berlakon saja...!! Khorp Khun Khrap...!!! Namront1970