Friday, July 3, 2009

DAP KELUAR PAKATAN: SIAPA YANG UNTUNG?

OLEH: Ir Guntor Tobeng Mansor Tobeng
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar

DAP ugut nak keluar pakatan. Jadi apa hebatnya dengan cerita itu.Saya tidak melihat tindakan itu sesuatu yang perlu dipandang serius sangat di pihak Barisan Nasional (BN) mahupun UMNO Kedah. Ia tidak lebih hanya satu koleksi cerita atau berita yang akan mati dan tenggelam dalam masa seminggu dua lagi.

Saya melihat tindakan DAP itu tidak menguntungkan BN/UMNO Kedah dari apa sudut sekalipun mahupun merugikan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang dikuasai secara total oleh PAS.

Harus dilihat tindakan DAP itu adalah tindakan politik dalam konteks parti mereka yang sentiasa pentingkan diri sendiri. DAP seperti lumrahnya, tidak pernah bersetuju dengan parti lain. DAP beranggapan mereka adalalah parti terbaik, parti pilihan, parti contoh dan parti yang paling sempurna di Malaysia.

Falsafah DAP itu adalah hasil ajaran "god father" mereka di negara jiran selatan semenanjung Malaysia, yang mahu mengajar Malaysia bagaimana caranya hendak mentadbir negara ini dengan mengikut acuan mereka yang kononnya adalah sebuah negara yang amat sempurna.

Berbalik kepada kisah DAP Kedah itu, timbul persoalan kalau benar DAP tarik diri sekalipun, adakah ia akan mengubah senario politik di Kedah. Jawapannya sudah pasti tidak kerana kerajaan Pakatan Rakyat masih berkuasa. Cuma ia hilang satu majoriti, daripada majoriti 4 kerusi kepada 3 kerusi. Dan wakil rakyat tunggal daripada DAP itu akan bertindak selaku calon bebas, menjadi suara sumbang dalam dewan undangan negeri Kedah yang mempunyai 36 kerusi itu.

Diambil kira juga wakil rakyat DAP itu menjadi calon bebas, BN masih juga tidak akan menguasai kerajaan negeri, melainkan BN berjaya mendapat 4 lagi kerusi bagi membentuk satu kerajaan lemah dengan kelebihan satu kerusi sahaja.

Adakah wakil rakyat daripada PKR yang seramai 4 orang akan ikut wakil DAP itu keluar daripada kerajaan Kedah. Kemungkinan terjadi sememangnya ada, tetapi saya tidak memberi peluang yang besar kepada senario wakil rakyat PKR turut lari daripada kerajaan sekarang.

Dari sudut firasat politik, tindakan DAP Kedah itu sudah pasti akan ditentang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia boleh menjejaskan matlamat ulung beliau mahu menjadi Perdana Menteri. Keretakan dalam Pakatan Rakyat adalah bencana bagi beliau.

Sudah pasti, dengan pelbagai helah dan janji, Anwar Ibrahim akan mengarahkan DAP Pusat supaya mengagalkan usaha DAP Kedah untuk menarik diri daripada kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah.

Bagi Anwar Ibrahim, dalam keadaan sekarang iaitu tempoh edah sebelum pilihanraya umum ke-13, parti-parti yang mahu menjatuhkan Barisan Nasional tidak boleh berpecah, kalau ada yang tidak puas hatipun jangan luahkan, biar bernanah pun tidak mengapa.

Yang penting bagi Anwar Ibrahim, rampas dahulu kerajaan persekutuan dan selepas itu apa nak jadi kepada Pakatan Rakyat kita kira kemudian.

Hakikatnya, biarkan sahaja kecoh dan retak antara DAP dan PAS Kedah itu berlegar antara mereka. Biarkan masalah rumahtangga mereka diselesaikan antara mereka dan jika talak sudahpun sah dijatuhkan, biarkan sahaja DAP menjadi janda berhias.

No comments: